Am 09/10/2026 07:38 PM

Belanjawan 2027: Bantuan 2.6 Bilion Kepada Pesawah Jamin Bekalan, Harga Mampu Beli - FOMCA

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Belanjawan 2027: Bantuan 2.6 Bilion Kepada Pesawah Jamin Bekalan, Harga Mampu Beli - FOMCA

KUALA LUMPUR, 9 Okt (Bernama) -- Peruntukan RM2.62 bilion bagi bantuan kepada pesawah dan RM300 juta untuk projek agro makanan di bawah Belanjawan 2027, perlu diterjemah kepada peningkatan bekalan makanan domestik serta memastikan harga kekal mampu dibeli pengguna, menurut Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA).

Ketua Pegawai Eksekutif FOMCA Dr Saravanan Thambirajah berkata bantuan kira-kira RM4,300 sehektar kepada pesawah, termasuk subsidi benih, baja, racun, upah membajak dan harga padi serta peningkatan insentif penuaian daripada RM50 kepada RM100 sehektar bagi setiap musim, merupakan langkah penting untuk membantu pesawah menangani peningkatan kos pengeluaran. 

Beliau berkata cadangan program penanaman padi lima musim dalam tempoh dua tahun berpotensi meningkatkan pengeluaran beras tempatan, sekiranya disokong sistem pengairan mencukupi, bekalan air yang stabil, teknologi pertanian moden serta perancangan pertanian yang teratur.

“Kerajaan mesti menetapkan sasaran pengeluaran yang boleh diukur dan menilai secara berkala, sama ada bantuan tersebut benar-benar meningkatkan hasil, mengurangkan kos pengeluaran dan memperkukuh ketersediaan beras,” katanya kepada Bernama ketika mengulas pembentangan Belanjawan 2027 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, di Dewan Rakyat hari ini. 

FOMCA turut menyambut baik peruntukan RM300 juta bagi projek agromakanan persekutuan dan negeri, serta kemudahan pembiayaan lebih RM1 bilion untuk usahawan tani.

Saravanan berkata kerjasama erat antara kerajaan persekutuan dengan kerajaan negeri penting, bagi menangani isu ketersediaan tanah, infrastruktur pertanian, logistik dan pengagihan makanan.

Beliau berkata kemudahan pembiayaan itu juga perlu mudah diakses oleh petani kecil, usahawan tani muda dan pengeluar makanan sebenar dan bukan hanya memberi manfaat kepada pengusaha berskala besar.

Sementara itu, pensyarah Putra Business School, Universiti Putra Malaysia Profesor Datuk Dr Nasir Shamsudin berkata peruntukan RM300 juta bagi kerjasama kerajaan persekutuan dan negeri, merupakan langkah positif untuk meningkatkan pengeluaran makanan domestik, namun pelaksanaannya perlu berasaskan kelebihan daya saing setiap negeri, potensi pasaran dan pulangan ekonomi.

Beliau berkata kemudahan pembiayaan lebih RM1 bilion untuk usahawan tani menerusi bank dan suruhanjaya berkaitan, perlu disertai sokongan teknikal serta akses pasaran bagi memastikan daya maju perusahaan.

“Kejayaan inisiatif ini sewajarnya diukur melalui peningkatan produktiviti, pengurangan kos pengeluaran, pertambahan nilai tambah dan pengurangan kebergantungan import bagi komoditi makanan strategik,” katanya.

Nasir berkata peruntukan RM2.62 bilion kepada pesawah pula, mencerminkan komitmen kerajaan untuk melindungi pendapatan golongan itu dan memperkukuh keterjaminan bekalan beras negara, ketika Kadar Sara Diri (SSR) beras negara kini berada pada  52.9 peratus.

“Namun, keberkesanan subsidi perlu dinilai berdasarkan peningkatan produktiviti, bukan semata-mata jumlah bantuan yang disalurkan. Struktur subsidi juga wajar dialihkan secara berperingkat daripada berasaskan input kepada insentif berasaskan output, prestasi dan amalan pertanian mampan,” katanya.

-- BERNAMA