Am 09/10/2026 06:58 PM

Empat Cedera Dirempuh Lori Disyaki Lawan Arus Di Persiaran Mokhtar Dahari

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Empat Cedera Dirempuh Lori Disyaki Lawan Arus Di Persiaran Mokhtar Dahari

SHAH ALAM, 9 Okt (Bernama) -- Empat cedera dalam kemalangan membabitkan sebuah lori dan 11 buah kereta lain dalam kejadian di Persiaran Mokhtar Dahari, Alam Budiman dekat sini petang tadi.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Ashrul Riezal Asbar berkata pihaknya dimaklumkan mengenai kejadian itu pada kira-kira 4.30 petang tadi, sebelum menggerakkan anggota ke lokasi.

“Kejadian mengakibatkan seorang lelaki dan seorang wanita mengalami kecederaan parah masing-masing pada bahagian kepala, manakala dua lagi mangsa lelaki lain cedera ringan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ashrul berkata kesemua mangsa yang merupakan warga tempatan telah dikejarkan ke hospital bagi mendapatkan rawatan lanjut, selain operasi melibatkan keanggotaan daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Jelutong.

Terdahulu, tular di media sosial rakaman memaparkan kejadian sebuah lori dipercayai telah memandu melawan arus dan merempuh beberapa kenderaan di persimpangan jalan raya terbabit. 

-- BERNAMA