Am 09/10/2026 08:18 PM

Belanjawan 2027: Peruntukan RM1.1 Bilion Tingkat Kesiapsiagaan Operasi - KP Kastam

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Belanjawan 2027: Peruntukan RM1.1 Bilion Tingkat Kesiapsiagaan Operasi - KP Kastam
Datuk Seri Amran Ahmad

KUALA LUMPUR, 9 Okt (Bernama) -- Peruntukan RM1.1 bilion diumumkan dalam Belanjawan 2027 kepada agensi penguatkuasaan termasuk Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) akan membantu usaha membanteras penyeludupan, mengekang ketirisan hasil dan melindungi kepentingan ekonomi negara.

Ketua Pengarah Kastam Datuk Seri Amran Ahmad berkata peruntukan itu mencerminkan sokongan berterusan Kerajaan MADANI terhadap JKDM serta agensi berkaitan, antaranya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam memperkukuh keupayaan operasi masing-masing.

“JKDM merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim atas pengumuman peruntukan itu.

“JKDM menyokong penuh dasar, hala tuju dan inisiatif ekonomi yang digariskan dalam Belanjawan 2027 bagi memelihara kestabilan ekonomi serta membanteras ketirisan hasil negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Amran berkata JKDM kini mempergiat penguatkuasaan ke atas premis perniagaan warga asing yang tidak mematuhi undang-undang dan terlibat dalam penyelewengan cukai melalui operasi bersepadu bersama-sama Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Pasukan Petugas Khas Kementerian Kewangan.

Selain itu, beliau berkata operasi yang dilaksanakan dari Julai hingga Ogos lepas di sekitar Lembah Klang, Selangor dan Johor, JKDM merampas 429,526 batang rokok dan 7,773.93 liter minuman keras bernilai RM715,695.26 termasuk duti dan cukai, selain menahan 23 individu bagi membantu siasatan.

JKDM, menurut beliau turut menyambut baik pemberian pengecualian duti dan cukai kepada masyarakat, pemain industri serta peniaga yang diumumkan dalam Belanjawan 2027 bagi merangsang aktiviti ekonomi dan mengurangkan kos perniagaan.

Mengenai insentif sektor awam, Amran mewakili warga jabatan berterima kasih atas pengumuman Bantuan Khas Kewangan RM1,500 kepada 1.3 juta penjawat awam yang disifatkan sebagai dorongan untuk terus memberikan perkhidmatan terbaik.

Beliau juga menegaskan JKDM kekal komited menyokong pelaksanaan Belanjawan 2027 melalui pengurusan kutipan hasil yang cekap, pengukuhan penguatkuasaan, pemanfaatan teknologi serta peningkatan mutu penyampaian perkhidmatan dengan penuh integriti dan profesionalisme.

-- BERNAMA