KUALA LUMPUR, 9 Okt (Bernama) -- Unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2027 antara 4.2 peratus hingga 5.2 peratus dibuat setelah mengambil kira ketidaktentuan global termasuk isu yang masih bergolak di luar negara, kata Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
Bagaimanapun, beliau berkata, prestasi ekonomi Malaysia dilihat kekal kukuh disokong oleh perkembangan positif apabila negara mencatat pertumbuhan 5.7 peratus bagi tempoh separuh pertama 2026.
“Seperti yang dikatakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, tahun ini kita memang telah nampak usaha untuk memperkukuh (ekonomi) negara berjaya, dan sehingga suku kedua prestasi tahun ke semasa kita telah mencapai 5.7 peratus.
“Insya-Allah, unjuran kita adalah antara 4.8 peratus hingga 5.3 peratus untuk 2026,” katanya kepada pemberita selepas pembentangan Belanjawan 2027, di Dewan Rakyat hari ini.
Selain itu, Amir Hamzah berkata kerajaan akan terus meningkatkan sokongan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) menerusi belanjawan tersebut dengan mengambil kira maklum balas daripada pelbagai pihak, khususnya sektor perniagaan yang berdepan tekanan.
Justeru, katanya, kerajaan akan terus membantu PMKS berkembang menerusi peningkatan pembiayaan bantuan tunai dan potongan cukai.
Beliau juga berkata bantuan yang diberikan kerajaan kepada rakyat tidak mengetepikan mana-mana golongan, termasuk kumpulan berpendapatan sederhana (M40), menerusi pelbagai inisiatif bagi menangani kos sara hidup.
Beliau berkata kenaikan pelepasan cukai individu daripada RM9,000 kepada RM12,000 itu dibuat selepas mengambil kira bahawa kadar pelepasan berkenaan tidak berubah sejak 2010.
"Golongan M40 turut menerima manfaat daripada pelaksanaan penyasaran subsidi petrol menerusi inisiatif BUDI95 dan diesel, yang bertujuan mengurangkan ketirisan subsidi kepada warga asing atau pihak yang tidak sepatutnya.
"Apabila kita memberikan bantuan persekolahan, kita tidak mengetepikan M40, T20 atau B40 kerana bantuan itu merupakan hak untuk membantu anak-anak kita,” katanya.
-- BERNAMA