KUALA LUMPUR, 9 Okt (Bernama) -- Sebanyak 18 memorandum persefahaman (MoU) dimeterai manakala hampir 65,000 pengunjung direkodkan sepanjang tiga hari penganjuran Pameran dan Persidangan Produk Teknologi Hijau serta Eko Antarabangsa Malaysia (IGEM) 2026 yang melabuhkan tirainya hari ini.
Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam Datuk Nor Yahati Awang berkata minat komersial yang tinggi sepanjang acara itu mencerminkan kepentingan teknologi hijau yang semakin meningkat dalam memacu daya saing ekonomi serta pelaburan.
“Minat komersial yang ditunjukkan di seluruh ruang pameran kami minggu ini mengesahkan bahawa teknologi hijau bukan lagi beban kewangan. Sebaliknya, teknologi hijau adalah pemacu utama daya saing dan pelaburan.
“Setiap perjanjian yang dimulakan di sini sepanjang tiga hari ini adalah langkah konkrit ke arah penyahkarbonan rantaian bekalan serantau dan pewujudan pekerjaan hijau berkemahiran tinggi,” katanya pada majlis minum petang penghargaan sempena penutupan IGEM 2026 dan Sidang Kemuncak Kelestarian Kuala Lumpur (KLSS) 2026 di sini hari ini.
Nor Yahati berkata edisi tahun ini menghimpunkan peserta dari 57 negara, termasuk China, Jerman, India, Jepun, Rusia, Singapura dan Korea Selatan.
Acara itu menampilkan 195 pempamer, penyertaan daripada 11 negeri, agensi kerajaan dan negara, lapan sesi perkongsian pandangan kepimpinan serta dua acara pelancaran, sekali gus memperkukuh peranannya sebagai platform bagi teknologi hijau dan pembangunan lestari.
Dianjurkan serentak dengan KLSS 2026, IGEM menyediakan platform pasaran untuk pemain industri, inovator dan pelabur meneroka kerjasama komersial manakala sidang kemuncak itu memudah cara dialog peringkat tinggi mengenai tadbir urus iklim dan kepimpinan.
Edisi ke-17 tahun ini yang bertemakan Race Towards Net Zero: Actions Beyond Boundaries turut menampilkan pameran baharu bagi menggalakkan kehidupan lestari, termasuk Laluan dan Ikrar Sifar Bersih, Pameran Mobiliti, Pameran Fesyen dan Gaya Hidup Lestari serta Eco Cinemax.
Nor Yahati berkata Malaysia perlu memastikan peralihan negara ke arah ekonomi rendah karbon kekal inklusif dan saksama, termasuk dengan melengkapkan tenaga kerja dengan kemahiran yang relevan untuk keperluan masa depan, membantu perusahaan kecil dan sederhana menerima pakai piawaian hijau serta memastikan masyarakat tempatan mendapat manfaat daripada pembangunan lestari.
Beliau berkata kementerian itu berhasrat memanfaatkan momentum berkenaan dengan memperluas jangkauan antarabangsa IGEM dan memperkukuh kerjasama rentas sempadan bagi menggerakkan pelaburan serta merealisasikan idea teknologi hijau yang berpotensi menjadi projek berdaya maju dari segi komersial dan boleh diperluas.
Beliau turut menggesa industri, kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan memanfaatkan platform IGEM untuk mempercepat usaha kelestarian dan memacu transformasi sebenar di peringkat akar umbi dalam ekosistem perniagaan domestik.
-- BERNAMA