PUTRAJAYA, 9 Okt (Bernama) -- Peruntukan sebanyak RM22 bilion kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi Belanjawan 2027, mencerminkan komitmen kerajaan untuk menjadikan keamanan dan ketenteraman awam sebagai keutamaan.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata Belanjawan 2027 membawa mesej jelas bahawa kebajikan rakyat perlu dibela, keamanan negara dipelihara dan ekonomi terus diperkukuh kerana ketiga-tiga tonggak itu saling melengkapi.
Beliau berkata kebajikan tanpa kestabilan sukar dipertahankan, keamanan tanpa kemakmuran tidak mencukupi manakala pertumbuhan ekonomi tanpa manfaat yang dirasai rakyat belum mencapai matlamat sebenar pembangunan.
“Peruntukan untuk kebajikan, memperkukuh aset keselamatan, meningkatkan keupayaan kawalan sempadan serta memanfaatkan teknologi bagi membanteras jenayah menunjukkan bahawa keselamatan rakyat dan kedaulatan negara tidak boleh dikompromi.
“Negara yang aman memberi keyakinan kepada rakyat untuk menjalani kehidupan dengan tenteram, di samping mewujudkan persekitaran yang kondusif untuk perniagaan, pelaburan dan pelancongan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan ketika membentangkan belanjawan bertemakan “Malaysia MADANI: Menggapai di Langit, Mengakar di Bumi” di Dewan Rakyat hari ini berkata KDN dan Kementerian Pertahanan masing-masing menerima peruntukan sebanyak RM22 bilion.
Peruntukan itu melibatkan pembelian dan penyelenggaraan aset Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia serta badan beruniform di bawah KDN.
Anwar turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM490 juta bagi Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan bagi memperkukuh keselamatan sempadan negara.
Saifuddin Nasution berkata pembangunan negara juga perlu membawa manfaat nyata kepada rakyat, termasuk menerusi pelaburan dalam kemudahan kesihatan, bantuan pengangkutan awam, pembangunan kemahiran dan peluang pekerjaan.
“Ukuran sebenar kejayaan sesebuah belanjawan bukan sekadar jumlah peruntukan tetapi sejauh mana ia membantu meringankan beban kehidupan dan meningkatkan kesejahteraan keluarga di negara ini,” katanya.
Beliau berkata kekuatan ekonomi negara menjadi pemangkin kepada masa depan yang lebih makmur, dengan prestasi pertumbuhan ekonomi, perdagangan dan pelaburan yang dibentangkan menerusi Belanjawan 2027 memberikan asas keyakinan terhadap kedudukan ekonomi Malaysia, namun pencapaian itu perlu diterjemahkan kepada lebih banyak pekerjaan berkualiti, peningkatan pendapatan, peluang perniagaan serta kos sara hidup yang lebih terkawal.
Saifuddin Nasution berkata cabaran seterusnya adalah memastikan setiap peruntukan dilaksanakan dengan cekap, telus dan berkesan supaya manfaatnya benar-benar sampai kepada rakyat.
-- BERNAMA