Am 09/10/2026 06:49 PM

APMM Tahan Dua Lelaki, Rampas Ganja Bernilai Kira-kira RM455,000 Di Kuala Perlis

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
APMM Tahan Dua Lelaki, Rampas Ganja Bernilai Kira-kira RM455,000 Di Kuala Perlis

KANGAR, 9 Okt (Bernama) -- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan dua lelaki dan merampas 65.05 kilogram (kg) ganja bernilai kira-kira RM455,000 selepas menahan sebuah bot fiber di perairan Perlis, Kuala Perlis dekat sini, malam tadi.

Timbalan Pengarah Operasi Maritim Kedah dan Perlis Kapten Maritim Zainudin Mohd Zuki berkata suspek berusia 34 dan 39 tahun ditahan pada 11.40 malam di kedudukan 1.5 batu nautika barat pantai Kurung Tengar.

“Bot ditahan oleh pihak Ibu Pejabat Maritim Zon Kuala Perlis (IPMZ Kuala Perlis) yang melaksanakan rondaan selepas menerima maklumat risikan berkaitan kehadiran bot itu.

“Bot fiber itu disyaki dari sempadan Thailand menuju ke Malaysia dan bergerak pada kelajuan tinggi sebelum melarikan diri serta tidak mematuhi arahan berhenti untuk pemeriksaan,” katanya pada sidang media di IPMZ Kuala Perlis dekat sini hari ini.

Zainudin berkata bot suspek itu turut cuba melanggar bot rondaan APMM dan anggota terpaksa melepaskan tembakan amaran atas faktor keselamatan.

“Pemeriksaan lanjut menemukan tiga guni mengandungi 60 ketulan mampat disyaki ganja dengan nilai keseluruhan rampasan termasuk bot, enjin sangkut berkuasa 115 kuasa kuda dan beberapa peralatan lain dianggarkan kira-kira RM600,000,” katanya.

Beliau berkata suspek direman hingga 14 Okt bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

-- BERNAMA