Ekonomi 09/10/2026 06:42 PM

Kerajaan Sedia Pembiayaan Mudah RM200 Juta Bagi Kos Tanaman Semula Sawit

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Kerajaan Sedia Pembiayaan Mudah RM200 Juta Bagi Kos Tanaman Semula Sawit

KUALA LUMPUR, 9 Okt (Bernama) -- Kerajaan akan menyediakan kemudahan pembiayaan mudah bernilai RM200 juta kepada pekebun kecil bagi membiayai kos penanaman semula kelapa sawit dengan keluasan kawasan sehingga 40 hektar.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pembayaran balik itu ditangguh selama empat tahun sementara menunggu pokok sawit berbuah.

Ketika membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat hari ini, beliau yang juga Menteri Kewangan berkata pekebun terbabit hanya menanggung faedah sebanyak dua peratus dan baki faedah ditanggung oleh kerajaan. 

Selain itu bagi pekebun kecil getah, Perdana Menteri berkata kerajaan bersetuju menaikkan kadar insentif pengeluaran getah (IPG) untuk kali ketiga. 

"Kadar IPG akan ditingkatkan kepada RM3.30 sekilogram bagi memberi manfaat kepada lebih 300,000 pekebun kecil," kata beliau.

Pada masa ini, kadar IPG itu pada RM3.00 sekilogram manakala 2022 sebanyak RM2.50 sekilogram. 

Setakat September lepas, Anwar berkata seramai 290,000 pekebun kecil menerima sebanyak RM400 sebulan sebagai bantuan subsidi yang merangkumi petani, penternak, pengusaha kecil sawit, getah, koko, lada dan kenaf. 

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata kerajaan meluluskan sejumlah RM1.26 bilion bagi 2027 untuk menjamin pengukuhan kewangan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA), penyelenggaraan jalan serta perumahan generasi FELDA.

Sebanyak 109,000 peneroka itu kini memiliki tanah selain purata pendapatan bersih meningkat daripada RM2,272 (2023) kepada RM3,800 pada 2026, kata Anwar.

“Penyahsenaraian FGV Holding Bhd pula memperkukuh kewangan FELDA demi menjaga kebajikan peneroka,” kata beliau.

Belanjawan MADANI Kelima yang bertemakan “Malaysia MADANI: Menggapai di Langit, Mengakar di Bumi” itu adalah belanjawan kedua di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13).

-- BERNAMA