Am 09/10/2026 01:31 PM

Ops PeWA: JPJ Pulau Pinang Sita 74 Motosikal, Sewa Serendah RM200

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Ops PeWA: JPJ Pulau Pinang Sita 74 Motosikal, Sewa Serendah RM200

GEORGE TOWN, 9 Okt (Bernama) -- Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang menyita 74 motosikal yang digunakan pemandu warga asing dalam Ops Pemandu Warga Asing (PeWA) di sekitar bandar raya ini, hari ini.

Pengarah JPJ Pulau Pinang Zulkifly Ismail berkata ada dalam kalangan warga asing ini yang menyewa motosikal serendah RM200 sebulan daripada pemilik tempatan untuk kegunaan harian termasuk berulang-alik ke tempat kerja walaupun tidak memiliki lesen memandu yang sah.

"Hasil pemeriksaan dalam operasi itu mendapati terdapat kenderaan milik rakyat tempatan yang disewakan kepada warga asing dan ada juga kenderaan yang didaftarkan menggunakan nama rakyat tempatan untuk kegunaan warga asing," katanya pada sidang media selepas operasi itu di JPJ Batu Uban di sini hari ini.

Beliau berkata dalam operasi yang bermula 5 hingga 10 pagi itu, sebanyak 694 kenderaan diperiksa dengan 74 daripadanya disita membabitkan pemandu warga asing manakala 258 notis saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.

Zulkifly berkata kesalahan paling banyak dikesan dalam operasi itu ialah memandu tanpa lesen dengan 158 tindakan diambil manakala 50 kes membabitkan Lesen Kenderaan Motor (LKM) yang tamat tempoh.

Beliau memaklumkan tindakan menyita semua motosikal yang dipandu warga asing itu dilaksanakan mengikut Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagi menghentikan kesalahan daripada terus dilakukan.

"Dalam operasi itu, kami turut mengesan seorang warga Bangladesh berusia awal 30-an yang bekerja dengan syarikat pembinaan membeli sebuah motosikal jenis Yamaha Y16 terus dari kedai hanya tiga hari sebelum operasi dijalankan.

“Bagaimanapun, motosikal yang didaftarkan atas namanya itu disita selepas dia didapati tidak mempunyai lesen memandu," katanya.

Beliau berkata kebanyakan warga asing yang diperiksa dalam operasi itu bekerja sebagai pekerja kontrak dan kilang, melibatkan warga Indonesia, Bangladesh, India dan Myanmar.

Sehubungan itu, Zulkifly mengingatkan majikan, pemilik kenderaan dan pihak yang menguruskan pemandu warga asing supaya memastikan individu yang dibenarkan memandu mempunyai lesen serta dokumen yang sah.

Beliau juga menasihatkan rakyat tempatan supaya lebih berhati-hati dalam memberi sewaan atau pinjaman kepada warga asing kerana kebanyakan mereka tidak memiliki dokumen atau lesen memandu sah.

-- BERNAMA