KOTA KINABALU, 9 Okt (Bernama) -- Ibu Allahyarham Zara Qairina Mahathir tidak percaya anak tunggalnya itu melompat dari tingkat tiga bangunan sekolah kerana remaja berkenaan seorang yang ceria, kuat dan tidak mudah mengalah meskipun berdepan provokasi.
Noraidah Lamat, 46, berkata demikian ketika disoal peguam Datuk Ram Singh yang mewakili seorang daripada remaja yang didakwa dalam kes buli membabitkan Zara Qairina pada prosiding inkues kematian remaja itu di Mahkamah Koroner di sini hari ini.
Ram membangkitkan keterangan pakar sepanjang prosiding inkues sebelum ini yang menurutnya menunjukkan Zara Qairina tidak ditolak dan terdapat kemungkinan remaja itu melompat secara sukarela.
Noraidah berkata beliau tidak percaya anaknya akan membuat keputusan sedemikian berdasarkan perwatakan Zara Qairina sepanjang membesarkan remaja berkenaan.
“Saya tidak percaya Zara Qairina akan membuat keputusan seperti itu. Sebab bagi saya, Zara Qairina ini anak yang ceria, kuat, dan tidak mudah mengalah walau apa pun provokasi yang orang buat kepada dia,” katanya di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan.
Diminta menjelaskan maksud provokasi, Noraidah berkata: “Merujuk kepada ejekan, buli, dan gelaran-gelaran yang diberikan kepada dia sepanjang berada di asrama.”
Dalam keterangannya, Noraidah turut menolak kemungkinan Zara Qairina menyembunyikan tekanan emosi daripada pengetahuannya kerana beliau tidak melihat sebarang perubahan tingkah laku anaknya sebelum kejadian.
Beliau berkata berdasarkan perbualan telefon bersama Zara Qairina pada 13 dan 14 Julai tahun lepas, anaknya tidak menunjukkan sebarang tanda tekanan emosi, meskipun masih mengulangi cerita mengenai ejekan dan gelaran yang diberikan pelajar senior di asrama ketika mereka berbual.
Noraidah berkata ketika panggilan telefon pada 14 Julai, Zara Qairina masih dalam keadaan ceria dan teruja apabila bercerita mengenai seorang Kak Badar bernama Wana yang mahu menemuinya pada malam berkenaan.
Mengenai siasatan kematian anaknya, Noraidah mendakwa tidak pernah menerima maklumat jelas daripada pihak polis, malah mesej WhatsApp yang dihantar kepada pegawai penyiasat juga tidak mendapat jawapan.
Sementara itu, Noraidah berkata beliau tidak mengetahui mengenai kutipan dana menerusi kempen Justice for Zara (JFZ) yang didakwa dijalankan di seluruh negara kerana tidak pernah dibawa berbincang atau dimaklumkan mengenai perkara itu.
Mengenai papan iklan Justice for Zara yang dipasang di beberapa daerah di Sabah, Noraidah berkata beliau mengetahui kewujudannya, namun tidak pernah dimaklumkan mengenai pihak yang memasang atau membiayai papan iklan berkenaan.
Zara Qairina meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth pada 17 Julai 2025, sehari selepas ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri berhampiran longkang asrama sekolahnya pada awal pagi.
-- BERNAMA