KUALA LUMPUR, 9 Okt (Bernama) -- Kerajaan menyediakan RM3.3 bilion bagi memperkasakan infrastruktur asas luar bandar di seluruh negara merangkumi jalan raya, bekalan air dan elektrik serta jambatan, dalam usaha mengurangkan kesenjangan pembangunan antara wilayah dan memastikan akses yang saksama kepada utiliti asas.
Menurut Tinjauan Ekonomi 2027 yang dikeluarkan Kementerian Kewangan hari ini, daripada jumlah itu sebanyak RM22.8 juta diperuntukkan untuk projek bekalan air, manakala RM70 juta disalurkan bagi projek bekalan elektrik di Sabah dan Sarawak.
Untuk memperkukuh daya tahan sektor air, sebanyak RM2.5 bilion disediakan di bawah Belanjawan 2026 untuk program pengurangan Air Tidak Berhasil (NRW) dengan RM824 juta daripadanya dikhususkan bagi kerja-kerja pengurusan, pencegahan, pengesanan dan penyelesaian masalah di Kelantan, Labuan, Pahang, Perlis, Sabah serta Sarawak.
“Selain itu, sebanyak RM1.7 bilion disediakan bagi penggantian paip kritikal di seluruh negara,” menurut laporan itu.
Dalam tempoh sama, Pengurusan Aset Air Bhd (PAAB) turut memperuntukkan RM13 bilion bagi menaik taraf infrastruktur air yang bakal memanfaatkan 1.5 juta penduduk di Selangor, Kuala Lumpur, dan Putrajaya.
Turut dilaksanakan ialah inisiatif penyahgaraman air laut hibrid bernilai RM5 juta di pos keselamatan Zon Selamat Sabah Timur (ESSZone) serta pulau-pulau terpencil di negeri itu seperti Pulau Banggi, Pulau Mabul dan Pulau Berhala.
Bagi peluasan infrastruktur digital, Projek Point of Presence (PoP) Fasa 2 bagi memperluas capaian gentian optik berhampiran taman perindustrian dan sekolah luar bandar telah mencapai kemajuan 95 peratus setakat Julai 2026, melibatkan perbelanjaan melebihi RM497 juta.
Agenda pengukuhan ekonomi Bumiputera terus diperkukuh menerusi peruntukan RM6 bilion melalui Majlis Amanah Rakyat (MARA), Yayasan Peneraju dan Universiti Teknologi MARA (UiTM), jaminan kredit SJPP sebanyak RM10 bilion, serta RM2.4 bilion bagi kontraktor Bumiputera G1 hingga G4.
Sembilan syarikat Bumiputera berprestasi tinggi turut disenarai pendek di bawah Program 10 Juara Bumiputera bagi persediaan Tawaran Awam Permulaan (IPO) berpasaran RM500 juta setiap syarikat.
Bagi memperkasakan usahawan belia, Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera Skala (TUBE-S) anjuran SME Corp Malaysia menyalurkan RM7.3 juta dalam bentuk geran padanan kepada 486 usahawan muda setakat Ogos 2026, manakala program TUNAS-i meluluskan pinjaman mudah RM2.7 juta kepada 50 perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
Dalam aspek pemerkasaan sosial, pembiayaan RM5 juta disalurkan bagi tempoh Januari hingga Ogos 2026, menerusi Program Mekar Dinamik yang membantu lebih 1,680 wanita, termasuk bekas banduan dan klien Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN).
Bagi aspek kebajikan masyarakat, sebanyak RM155 juta diperuntukkan untuk komuniti Orang Asli di bawah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), manakala lebih RM1.2 bilion disediakan bagi golongan Orang Kurang Upaya (OKU).
Jumlah itu merangkumi RM9.6 juta bagi Pusat Perkhidmatan Autisme (PPA) di Labuan, Sabah dan Sarawak yang menyediakan perkhidmatan terapi serta sokongan kepada 5,500 kanak-kanak setakat Ogos 2026.
Menurut laporan itu pelaksanaan Belanjawan 2026 terus memperkukuh tatakelola dan keupayaan institusi negara menerusi langkah yang memberikan tumpuan kepada tanggungjawab fiskal, pengurusan kewangan awam dan penambahbaikan penyampaian perkhidmatan kerajaan.
Menerusi pendigitalan pentadbiran cukai, pelaksanaan e-Invois merekodkan penyertaan lebih 265,000 pembayar cukai dengan pengeluaran melebihi 1.8 bilion e-Invois setakat Ogos 2026.
Transformasi digital sektor awam turut diperkemas menerusi platform MyGOV Malaysia yang kini dimanfaatkan lebih tiga juta pengguna, menyediakan akses kepada 63 perkhidmatan merentas 25 agensi kerajaan dan 91 pihak berkuasa tempatan.
Bagi memperkukuh keberkesanan institusi dan tadbir urus, sebanyak RM20 juta diperuntukkan untuk memperkasakan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen serta program pembangunan komuniti di bawah Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia (KRPPM).
-- BERNAMA