Am 09/10/2026 06:12 PM

Belanjawan 2027: Kita Tidak Bina Negara Untuk Satu Tahun Fiskal, Tetapi Satu Generasi - Anwar

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Belanjawan 2027: Kita Tidak Bina Negara Untuk Satu Tahun Fiskal, Tetapi Satu Generasi - Anwar
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang juga Menteri Kewangan, membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat hari ini. - fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA

KUALA LUMPUR, 9 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2027, Belanjawan MADANI Kelima, disifatkan sebagai ‘Waad Nasional’ yang mencerminkan tanggungjawab kerajaan untuk memastikan kekuatan ekonomi negara diterjemahkan kepada keadilan sosial, peluang lebih saksama dan peningkatan maruah rakyat.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan MADANI Kelima bertemakan “Menggapai di Langit, Mengakar di Bumi” di Dewan Rakyat hari ini berkata belanjawan negara tidak seharusnya berdiri atas kuasa semata-mata, sebaliknya berteraskan keadilan dan dipagari amanah.

“Lantaran itu, mesti ditegaskan bahawa Belanjawan Negara adalah pernyataan moral atau Waad Nasional sesebuah kerajaan yang bertanggungjawab.

“Dengan keyakinan bahawa kekuatan ekonomi harus mengangkat kemuliaan insan, pertumbuhan mesti membuahkan keadilan, reformasi mesti memulihkan keyakinan dan setiap generasi wajib mewariskan negara yang lebih baik daripada sebelumnya, maka saya hamparkan Belanjawan MADANI 2027 sebagai ikhtiar sebuah generasi untuk memperkukuh tatanan dan memenuhi janji dan Waad Nasional kepada masa hadapan,” katanya.

Beliau berkata prinsip tersebut diterjemahkan menerusi lapan lunas utama Belanjawan 2027, merangkumi usaha menangani kos sara hidup, mengutamakan semua negeri, membela nasib rakyat, meningkatkan mutu perkhidmatan awam, menjamin bekalan dan kesiapsiagaan negara, memecah siling keupayaan ekonomi, memelihara citra nusa serta menata wang rakyat dengan amanah.

Menurut Anwar, Waad Nasional membawa pengertian bahawa negara tidak akan meminggirkan golongan yang dihimpit kesusahan, manakala setiap anak Malaysia berhak mencapai potensi masing-masing tanpa mengira latar keluarga, wilayah atau kedudukan.

Prinsip itu, katanya, turut merangkumi Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), perlu dilihat sebagai sebahagian daripada Waad Nasional dan tanggungjawab nasional yang perlu dilaksanakan secara menyeluruh.

“Kerajaan MADANI telah meningkatkan kadar pemberian khas sebanyak tiga kali, dengan kadar interim terkini berjumlah RM1.5 bilion. Bayaran ini akan dilunaskan sebelum hujung tahun, dan rundingan bersama diteruskan untuk memuktamadkan formula tahunan yang adil serta mampan,” katanya.

Dalam konteks pembangunan Sabah dan Sarawak, Anwar berkata peruntukan Persekutuan bagi kedua-dua negeri itu pada 2027 kekal pada paras tertinggi, dengan Sabah menerima RM18.7 bilion manakala Sarawak RM16.2 bilion.

Beliau berkata sebanyak 12 perkara berkaitan MA63 telah dimuktamadkan di bawah Kerajaan MADANI, antaranya penetapan wakil tetap Sabah dan Sarawak dalam Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), penyerahan Pelabuhan Bintulu kepada Sarawak serta penyerahan MASWings kepada Sarawak untuk dijenamakan sebagai AirBorneo.

Selain itu, kuasa kawal selia elektrik telah diserahkan kepada Sabah, manakala Kerajaan Persekutuan terus menyediakan RM600 juta bagi menjamin kelangsungan bekalan elektrik di negeri itu.

Menurut Anwar, langkah tersebut memperlihatkan ukuran sebenar sesebuah belanjawan bukan semata-mata pada jumlah peruntukan atau banyaknya pengumuman, tetapi sejauh mana hasilnya membolehkan rakyat hidup dengan bermaruah serta mewariskan Malaysia yang lebih adil kepada generasi seterusnya.

“Negara menyediakan ruang dan peluang, rakyat mengisinya dengan ilmu, kerja, daya cipta dan keberanian. Pemerintah menjaga amanah, rakyat memperkukuh negara melalui usaha dan kecemerlangan. Maka ia adalah kewajiban sejarah,” katanya.

Beliau berkata gagasan Waad Nasional turut meletakkan tanggungjawab kepada setiap generasi untuk menyerahkan sebuah Malaysia yang lebih baik kepada generasi berikutnya, yang disifatkannya sebagai tanggungjawab antara generasi.

“Ia adalah kesempatan kepada generasi kita untuk meninggalkan sebuah negara lebih kukuh daripada yang kita warisi, dengan institusi lebih diyakini dan dipercayai, ekonomi lebih rencam dan generasi muda yang mempunyai ruang lebih luas untuk mencipta masa depan mereka sendiri.

“Kita tidak membina negara untuk satu tahun fiskal. Kita membina negara untuk satu generasi. Dan tugas sebuah generasi bukan semata-mata menikmati apa yang diwarisi, tetapi memperluas apa yang boleh diwariskan,” katanya.

Anwar berkata tanggungjawab tersebut memberikan makna kepada Waad Nasional, iaitu janji bahawa negara akan terus menyantuni rakyat, kuasa sentiasa dipagari amanah dan hasil negara dikembalikan kepada kemaslahatan ramai.

“Waad ini juga mengingatkan bahawa pembangunan bukan kerja kerajaan semata-mata. Ia adalah ikhtiar kolektif. Pemerintah menggalas amanah, rakyat mencurahkan daya usaha, negara membuka ruang, masyarakat mengisinya dengan ilmu, kreativiti dan keberanian,” katanya.

Mengaitkan gagasan itu dengan tradisi pemikiran Melayu yang meletakkan keadilan dan amanah sebagai asas pemerintahan, Perdana Menteri memetik penyair dan sejarawan Melayu Raja Ali Haji melalui Gurindam Dua Belas: “Hukum adil atas rakyat, tanda raja beroleh inayat”.

Petikan itu, katanya, mengukuhkan prinsip bahawa kuasa pemerintahan perlu sentiasa disertai amanah dan pertanggungjawaban.

-- BERNAMA