Am 09/10/2026 02:33 PM

Kadar Pengangguran Turun Kepada 2.9 Peratus Pada Ogos – DOSM

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Kadar Pengangguran Turun Kepada 2.9 Peratus Pada Ogos – DOSM

PUTRAJAYA, 9 Okt (Bernama) -- Kadar pengangguran menurun kepada 2.9 peratus pada Ogos 2026 berbanding tiga peratus pada Julai, dengan bilangan penganggur berkurangm 8,700 orang kepada 511,600 orang, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Dalam kenyataan mengenai Statistik Tenaga Buruh bagi Ogos 2026 yang diterbitkan hari ini, DOSM memaklumkan bilangan penduduk bekerja meningkat 0.2 peratus kepada 16.87 juta orang berbanding 16.85 juta orang pada bulan sebelumnya.

Selaras dengan perkembangan itu, bilangan tenaga buruh meningkat 0.1 peratus kepada 17.39 juta orang (Julai 2026: 17.37 juta orang), manakala kadar penyertaan tenaga buruh naik kepada 71 peratus daripada 70.9 peratus.

Menurut DOSM, kategori pekerja yang merangkumi 74.9 peratus daripada jumlah penduduk bekerja, meningkat secara marginal 0.1 peratus kepada 12.63 juta orang pada Ogos (Julai 2026: 12.62 juta orang).

"Sehubungan itu, bilangan penduduk bekerja sendiri bertambah 0.2 peratus kepada 3.17 juta orang (Julai 2026: 3.16 juta orang)," menurut kenyataan itu.

DOSM memaklumkan penganggur aktif yang bersedia untuk bekerja dan aktif mencari pekerjaan merangkumi 79.2 peratus daripada jumlah penganggur, dengan bilangannya menurun 1.8 peratus kepada 405,100 orang (Julai 2026: 412,600 orang).

"Dalam kalangan penganggur aktif, 64.2 peratus telah menganggur kurang daripada tiga bulan, manakala mereka yang menganggur jangka panjang melebihi setahun merangkumi lima peratus

"Pada masa yang sama, bilangan penganggur tidak aktif yang percaya bahawa tiada pekerjaan tersedia menurun 1.2 peratus kepada 106.5 ribu orang (Julai 2026: 107.7 ribu orang)," menurut kenyataan itu.

DOSM turut melaporkan kadar pengangguran belia berumur 15 hingga 24 tahun menurun 0.1 mata peratus kepada 10.1 peratus, dengan bilangan penganggur dalam kumpulan itu berkurang kepada 291,300 orang (Julai 2026: 292,500 orang).

Kadar pengangguran bagi belia berumur 15 hingga 30 tahun juga dilaporkan menurun 0.1 mata peratus kepada 6.3 peratus dengan bilangan penganggur dalam kumpulan berkenaan berkurang kepada 394,600 orang (Julai 2026: 404,500 orang).

Dalam perkembangan sama, DOSM memaklumkan bilangan penduduk di luar tenaga buruh menurun secara marginal 0.1 peratus atau 4,500 orang kepada 7.11 juta orang pada Ogos.

Kerja rumah dan tanggungjawab keluarga merupakan penyumbang terbesar kepada kumpulan itu, iaitu 43.6 peratus, diikuti mereka yang bersekolah atau menjalani latihan sebanyak 40.2 peratus manakala 16.2 peratus berada di luar tenaga buruh atas sebab lain, termasuk persaraan dan hilang upaya.

Menurut DOSM, prestasi positif pasaran buruh yang berterusan terus menyokong pertumbuhan ekonomi negara.

"Melangkah ke hadapan, peningkatan produktiviti pekerja melalui pemerkasaan kemahiran dan penggunaan teknologi adalah penting bagi memastikan pertumbuhan ekonomi yang mampan serta meningkatkan kesejahteraan rakyat," menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA