Am 09/10/2026 02:47 PM

Penganggur Dipenjara 15 Tahun Bunuh Rakan

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Penganggur Dipenjara 15 Tahun Bunuh Rakan

MELAKA, 9 Okt (Bernama) -- Seorang penganggur dihukum penjara 15 tahun oleh Mahkamah Tinggi Melaka, selepas mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan membunuh rakan lelakinya di Pulau Sebang, Alor Gajah, enam tahun lepas.

Hakim Datuk D. Suria Kumar menjatuhkan hukuman itu ke atas AS Sitambarasan, 34, bermula dari tarikh lelaki itu ditangkap pada 23 Sept 2020, selepas mengambil kira faktor kepentingan awam termasuk cara pembunuhan serta menghapuskan mayat.

Dalam penghakiman, beliau menasihati Sitambarasan agar insaf dan bertaubat serta tidak mengulangi kesalahan sama pada masa depan, kerana perbuatan itu turut membebankan keluarga sendiri.

“Di penjara nanti, saya harap awak renungkan...perkara ini tidak sepatutnya berlaku. Jika tidak, sekarang kamu bersama dengan ibu kamu yang sedang sakit kanser dan menjaganya. Isteri kamu pun kemalangan dan patah kaki. Kamu sepatutnya bersama dengan isteri, bantunya,” katanya.

Mengikut fakta kes, Sitambarasan didakwa bersama-sama dua lagi individu membunuh Sua Chun Chai, 31, yang juga seorang penganggur di depan sebuah bengkel kenderaan di kawasan industri kecil dan sederhana (IKS) Kuala Ina, Pulau Sebang antara 14 hingga 17 Sept 2020. 

Kejadian terbongkar apabila pasukan Bomba dan Penyelamat Balai Alor Gajah dan Tampin Negeri Sembilan yang melakukan kerja-kerja memadamkan kebakaran sebuah kereta jenis Honda Civic Ferio sekitar 8.09 pagi pada 17 Sept 2020, menemukan sebuah beg hitam berisi mayat dalam kenderaan tersebut. 

Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan, dibaca bersama dengan Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 30 tahun dan boleh dikenakan denda.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Firdaus Saleh manakala peguam Andrew Lourdes mewakili Sitambarasan

-- BERNAMA