Ekonomi 09/10/2026 02:47 PM

Jualan Sektor Pembuatan Naik 9.9 Peratus Kepada RM185.0 Bilion Pada Ogos 2026 - DOSM

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Jualan Sektor Pembuatan Naik 9.9 Peratus Kepada RM185.0 Bilion Pada Ogos 2026 - DOSM

KUALA LUMPUR, 9 Okt (Bernama) -- Nilai jualan sektor pembuatan meningkat 9.9 peratus tahun ke tahun kepada RM185 bilion pada Ogos 2026 berbanding pertumbuhan 9.1 peratus yang dicatatkan pada Julai 2026, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Dalam kenyataan hari ini, DOSM berkata pertumbuhan itu didorong oleh subsektor peralatan elektrik dan elektronik yang mencatatkan peningkatan 22.6 peratus.

“Pertumbuhan itu turut disokong oleh subsektor produk petroleum, kimia, getah dan plastik yang meningkat 5.2 peratus berbanding 3.6 peratus pada Julai 2026.

"Sementara itu, pertumbuhan subsektor produk makanan, minuman dan tembakau sederhana kepada 0.3 peratus daripada 3.9 peratus pada bulan sebelumnya,” menurut kenyataan itu.

Berbanding bulan sebelumnya, nilai jualan meningkat 4.3 peratus daripada RM177.3 bilion pada Julai 2026.

DOSM berkata nilai jualan industri berorientasikan eksport, yang menyumbang 73.6 peratus daripada jumlah jualan, meningkat 12.1 peratus tahun ke tahun pada Ogos 2026 berbanding 9.9 peratus pada Julai 2026.

“Prestasi ini didorong oleh peningkatan 24.9 peratus dalam pembuatan produk komputer, elektronik dan optik berbanding 19.0 peratus pada Julai 2026,” katanya.

Selain itu, DOSM berkata pembuatan kok dan produk petroleum bertapis meningkat 8.3 peratus berbanding 3.3 peratus pada Julai 2026, manakala pembuatan perabot berkembang 8.4 peratus berbanding 7.9 peratus pada bulan sebelumnya.

Berbanding bulan sebelumnya, nilai jualan industri berorientasikan eksport meningkat 2.4 peratus.

Sementara itu, DOSM berkata jualan industri berorientasikan domestik meningkat 4.4 peratus tahun ke tahun pada Ogos 2026 berbanding 7.2 peratus pada bulan sebelumnya.

“Prestasi ini didorong oleh pembuatan logam asas yang mencatatkan pertumbuhan dua angka sebanyak 13.1 peratus berbanding 14.9 peratus pada Julai 2026.

“Selain itu, pembuatan produk makanan yang diproses mencatatkan pertumbuhan lebih sederhana sebanyak 6.9 peratus berbanding 9.6 peratus pada Julai 2026,” katanya.

Dari segi bulan ke bulan, jualan industri berorientasikan domestik menguncup 0.9 peratus.

Selain itu, jumlah pekerja dalam sektor pembuatan mencecah 2.4 juta orang pada Ogos 2026, meningkat 1.2 peratus tahun ke tahun berbanding 1.1 peratus pada Julai 2026.

Peningkatan itu didorong oleh pertumbuhan guna tenaga sebanyak 2.1 peratus dalam subsektor makanan, minuman dan tembakau, diikuti subsektor produk mineral bukan logam, logam asas dan produk logam yang direka sebanyak 1.9 peratus, sama seperti Julai 2026.

Subsektor peralatan elektrik dan elektronik pula mencatatkan pertumbuhan guna tenaga sebanyak 1.8 peratus berbanding 1.3 peratus pada bulan sebelumnya.

DOSM berkata nilai jualan terkumpul bagi tempoh lapan bulan pertama 2026 berjumlah RM1.39 trilion, peningkatan 7.9 peratus.

-- BERNAMA