Am 08/10/2026 02:32 PM

Peralihan Hijau Perlu Seimbangkan Pengurangan Pelepasan, Keselamatan Tenaga Dan Kehidupan Rakyat

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Peralihan Hijau Perlu Seimbangkan Pengurangan Pelepasan, Keselamatan Tenaga Dan Kehidupan Rakyat
Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Datuk Seri Fadillah Yusof (tiga,kiri) merasmikan Pameran dan Persidangan Produk Teknologi Hijau serta Eko Antarabangsa Malaysia (IGEM) 2026 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) hari ini.

KUALA LUMPUR, 8 Okt (Bernama) -- Peralihan hijau di Malaysia mesti mengimbangi usaha mengurangkan pelepasan dengan jaminan keselamatan tenaga, kemampuan membayar serta melindungi kehidupan rakyat, di samping memastikan tiada golongan masyarakat yang ketinggalan, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.

Beliau berkata komitmen Malaysia menerusi Sumbangan Ditentukan Negara Ketiga (NDC 3.0) menyasarkan pengurangan sebanyak 15 hingga 30 juta tan karbon dioksida setara menjelang 2035 berbanding paras kemuncak pelepasan negara.

“Setiap negara mempunyai titik permulaan, struktur ekonomi dan keperluan pembangunan yang berbeza. Kita perlu mengurangkan pelepasan sambil memastikan keselamatan tenaga, kemampuan membayar dan kehidupan rakyat terus terpelihara. Peralihan ini mesti dilaksanakan secara teratur dengan kesejahteraan rakyat sebagai keutamaan,” katanya.

Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata demikian ketika merasmikan Pameran dan Persidangan Produk Teknologi Hijau serta Eko Antarabangsa Malaysia (IGEM) ke-17, bersempena dengan Sidang Kemuncak Kelestarian Kuala Lumpur (KLSS) 2026 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Beliau berkata sasaran itu merangkumi pengurangan tanpa syarat hingga 20 juta tan, manakala tambahan 10 juta tan bergantung pada sokongan antarabangsa melalui pembiayaan iklim, pemindahan teknologi dan pembangunan kapasiti.

Beliau berkata peralihan hijau itu perlu mewujudkan peluang kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), yang menjadi tulang belakang kekuatan ekonomi negara melalui sumbangan mereka terhadap peluang pekerjaan, komuniti dan rantaian bekalan industri.

Sementara itu, Fadillah berkata kerajaan menyokong pelaburan hijau dan pembangunan perusahaan menerusi beberapa inisiatif, termasuk Skim Pembiayaan Teknologi Hijau 5.0 dan Elaun Cukai Pelaburan Hijau, dan langkah berkenaan perlu disokong oleh penyediaan projek yang kukuh serta pelaksanaan yang berkesan.

Beliau berkata National Marginal Abatement Cost Curve menunjukkan kira-kira 70 peratus potensi pengurangan pelepasan boleh dicapai menerusi langkah yang melibatkan kos pengurangan negatif atau rendah, sekali gus menyediakan asas praktikal untuk mempercepat tindakan menangani perubahan iklim.

“Melalui Dasar Pasaran Karbon Kebangsaan dan platform seperti IGEM, kita dapat memperkukuh kerjasama antara penyedia teknologi, pemaju projek dan pelabur, sekali gus menterjemahkan peluang yang dikenal pasti kepada projek dengan hasil yang boleh diukur,” katanya.

Pada peringkat serantau, Fadillah berkata Malaysia kekal komited untuk memperluas hubungan tenaga elektrik menerusi Grid Tenaga ASEAN, dengan inisiatif seperti Projek Integrasi Tenaga Lao PDR-Thailand-Malaysia-Singapura dan Pertukaran Tenaga Malaysia (ENEGEM) yang menyokong perdagangan elektrik bersih serta keselamatan tenaga.

Beliau berkata peralihan itu juga perlu disokong oleh pekerja berkemahiran dalam pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional, kerjasama universiti-industri serta peluang peningkatan kemahiran diselaraskan dengan keperluan industri hijau yang sedang berkembang.

Fadillah berkata teknologi digital termasuk kecerdasan buatan, analitik data dan automasi pintar boleh menyokong peralihan hijau dengan meningkatkan pengurusan grid, kecekapan tenaga dan proses membuat keputusan, manakala infrastruktur digital juga perlu menggunakan tenaga dan air secara cekap.

Beliau berkata usaha mencapai aspirasi hijau memerlukan pendekatan menyeluruh negara yang melibatkan kerajaan, industri, institusi kewangan, institusi penyelidikan, kerajaan negeri dan komuniti setempat bagi memastikan inisiatif hijau diterjemahkan kepada pelaburan, pelaksanaan serta hasil yang nyata.

Turut hadir ialah Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Datuk Seri Arthur Joseph Kurup dan timbalannya Syed Ibrahim Syed Noh, serta Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming.

Edisi ke-17 IGEM yang bertemakan “Race Towards Net Zero: Action Beyond Boundaries” diadakan dari 7 hingga 9 Okt di Kuala Lumpur, dianjurkan oleh Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam dan agensinya, Perbadanan Teknologi Hijau dan Perubahan Iklim Malaysia (MGTC).

-- BERNAMA