KUCHING, 7 Okt (Bernama) -- Tentera Darat Malaysia (TDM) akan melaksanakan Eksesais Satria Perkasa 3 Bgd Tahun 2026 dari 17 hingga 27 Okt ini di sekitar kawasan Bau, Lundu dan Biawak.
Divisyen Pertama Infantri Malaysia (1 Div) dalam kenyataan hari ini memaklumkan eksesais tahunan itu dilaksanakan bagi meningkatkan tahap keupayaan operasi dan kesiapsiagaan dalam mendepani cabaran keselamatan.
“TDM akan melaksanakan aktiviti atur gerak kenderaan dan aset ketenteraan menggunakan laluan Bau-Lundu-Biawak sebagai sebahagian daripada persiapan dan pelaksanaan aktiviti yang telah dirancang.
“Masyarakat awam khususnya pengguna jalan raya di sepanjang laluan berkenaan dimohon memberikan kerjasama sepanjang pelaksanaan eksesais. Kehadiran kenderaan dan aset TDM di laluan awam merupakan sebahagian daripada aktiviti yang telah dirancang serta dilaksanakan berdasarkan prosedur dan ketetapan keselamatan,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu memaklumkan masyarakat juga dinasihatkan agar tidak menyebarkan sebarang spekulasi, maklumat tidak sahih atau kandungan yang boleh menimbulkan kegusaran dan kekeliruan dalam kalangan orang awam.
“Sebarang maklumat berkaitan aktiviti tersebut hendaklah dirujuk kepada sumber rasmi dan berautoriti bagi memastikan kesahihan maklumat serta mengelakkan penyebaran berita yang tidak tepat,” menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA