KUALA LUMPUR, 7 Okt (Bernama) -- Harga minyak sawit mentah (MSM) boleh kembali ke paras RM5,000 setiap tan seawal suku pertama 2027, didorong oleh potensi gangguan kepada pasaran minyak bunga matahari dan perkembangan sekitar konflik Rusia-Ukraine, kata seorang penganalisis.
Pengarah Eksekutif ISTA Mielke GmbH, Thomas Mielke berkata harga MSM juga berpotensi untuk memperoleh semula paras US$1,300 untuk harga minyak sawit “Free on Board” (FOB) tetapi masanya kekal tidak menentu.
“Kita boleh mendapatkan semula paras RM5,000 (harga MSM) dengan mudah dan US$1,300 untuk minyak sawit FOB Malaysia. Persoalannya ialah bila. Saya andaikan kita akan melihatnya semula seawal Januari,” katanya dalam perbincangan panel di Forum Minyak Sawit Malaysia (MPOF) Kuala Lumpur 2026 di sini hari ini.
Sesi itu dikendalikan oleh pembawa berita dan wartawan Cable News Network (CNN), Eleni Giokos. Turut menjadi panel ialah Pengarah Urusan Glenauk Economics Dr Julian McGill termasuk Pengarah Bahan Kimia dan Pemakanan Frost & Sullivan, Nikhil Vallabhan.
Perkembangan sekitar koridor minyak bunga matahari Laut Hitam juga boleh memberikan sokongan kepada harga minyak sawit.
Beliau berkata pertumbuhan pengeluaran tahunan minyak sawit global berkemungkinan susut kepada 1.3 juta tan metrik atau kurang dalam tempoh 10 tahun hingga 2030 berbanding purata pertumbuhan tahunan sebanyak 2.9 juta tan metrik dalam tempoh 10 tahun hingga 2020.
“Bagaimanapun, minyak sawit masih mendominasi pasaran minyak/lemak global dengan bahagian pengeluaran sebanyak 31 peratus dan bahagian eksport sebanyak 49 peratus tahun ini.
“Komoditi itu tidak lagi perlu memperoleh bahagian pasaran melalui diskaun harga, kecuali untuk tempoh lebihan bekalan sementara yang agak singkat,” tambahnya.
-- BERNAMA