KUALA LUMPUR, 7 Okt (Bernama) -- Lumut Naval Shipyard (LUNAS), syarikat yang bertanggungjawab membina kapal tempur pesisir (LCS) 1 untuk Malaysia, menetapkan April 2027 sebagai tarikh baharu penyerahan kapal berkenaan bagi Fasa 1 kepada Kementerian Pertahanan (MINDEF).
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata tarikh baharu itu ditetapkan selepas LUNAS memaklumkan pihaknya tidak dapat memberikan komitmen dan jaminan sebelum ini bahawa LCS 1 boleh diserahkan pada Disember tahun ini.
“Perubahan tarikh penyiapan dan kelewatan ini adalah sesuatu yang sememangnya memberi kesan kepada kesiapsiagaan Angkatan Tentera Malaysia dan juga pertahanan negara.
“Sebagai pembeli, sudah pasti kementerian sangat mengharapkan LCS dapat diserahkan dan kalau tarikh baharunya ialah April 2027, kami harap LUNAS tidak ada apa-apa lagi alasan dan kelewatan,” katanya ketika menggulung perbahasan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Bilangan 2/2026 bagi kementerian itu di Dewan Rakyat hari ini.
Sehubungan dengan itu, Mohamed Khaled berkata MINDEF telah mengeluarkan notis makluman Ganti Rugi Tertentu dan Ditetapkan (LAD) kepada LUNAS sebagai tanda keseriusan kerajaan terhadap kelewatan projek berkenaan.
Beliau berkata MINDEF dengan kerjasama Kementerian Kewangan akan mengambil segala langkah yang perlu bagi memantau pelaksanaan projek LCS serta memastikan tarikh penyerahan yang ditetapkan dipatuhi.
Mengenai perkembangan terkini pembinaan LCS 1, Mohamed Khaled berkata setakat Ogos, tahap kemajuan kapal itu mencapai 86.39 peratus, iaitu 13.61 peratus lebih rendah daripada sasaran, dengan jurang kelewatan berjaya dikecilkan sebanyak 0.27 peratus.
Sementara itu, beliau berkata beberapa perkara yang dibangkitkan dalam LKAN Bilangan 2/2026 berkaitan projek LCS telah menunjukkan perkembangan, termasuk kontrak Integrated Logistics Support and Technical Aids yang sebelum ini belum dimuktamadkan.
Beliau berkata kontrak berkenaan telah ditandatangani pada 26 Ogos lepas dan memberi punca kuasa kepada pelaksanaan pelbagai aktiviti serta ujian di atas kapal, sekali gus membolehkan kerja sokongan dan latihan dimulakan.
Berhubung perolehan amunisi 30mm Medium Calibre Gun dan Integrated Decoy Launching System yang masih belum dimuktamadkan, Mohamed Khaled berkata cadangan bagi kedua-dua perolehan itu kini dalam proses rundingan terus.
Bagi kontrak perolehan peluru berpandu permukaan ke udara pula, Mohamed Khaled berkata Surat Setuju Terima (SST) telah ditandatangani dan dokumen kontrak dijangka dimuktamadkan pada pertengahan Oktober ini.
Beliau berkata MINDEF turut mempertimbangkan beberapa alternatif bagi perolehan sistem peluru berpandu, termasuk dari Korea Selatan, Turkiye dan Perancis bagi memastikan tempoh penghantaran serta pemasangan tidak mengambil masa terlalu lama.
“Jadi, kami sedang menimbang semua ini dan kami akan pastikan supaya masa penghantaran dan pemasangan tidak terlalu lama seperti kontrak Norway yang mengambil masa sehingga lapan tahun,” katanya.
Dalam pada itu, Mohamed Khaled menjelaskan ketiadaan sistem peluru berpandu antikapal Naval Strike Missile tidak bermakna LCS yang bakal diterima MINDEF tidak akan dilengkapi dengan sistem persenjataan.
“LCS itu akan tetap dilengkapi dengan beberapa jenis sistem persenjataan yang lain, antaranya peluru berpandu permukaan ke udara, peluru berpandu permukaan ke laut untuk serangan ataupun berhadapan dengan mana-mana ancaman daripada kapal selam.
“Kami juga mempunyai sistem peperangan elektromagnetik untuk menggagalkan segala serangan yang akan dilakukan dan juga Combat Management System yang mengintegrasikan semua keupayaan ini dengan sistem radar dan pengesan kapal,” katanya.
LKAN Bilangan 2/2026 yang dikeluarkan pada Isnin mendapati pembinaan projek kapal tempur berkenaan mengalami kelewatan kemajuan kerja sebanyak 7.55 peratus setakat 25 Jun lepas, membabitkan tempoh kelewatan antara 30 hingga 108 hari.
-- BERNAMA