Ekonomi 07/10/2026 09:56 PM

MOF Muktamadkan Cadangan Akta Perkukuh Tadbir Urus Syarikat Milik Kerajaan

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
MOF Muktamadkan Cadangan Akta Perkukuh Tadbir Urus Syarikat Milik Kerajaan

KUALA LUMPUR, 7 Okt (Bernama) -- Kementerian Kewangan (MOF) sedang memuktamadkan cadangan penggubalan Akta Badan Berkanun dan Entiti Kawalan (Tadbir Urus Kewangan) bagi memperkukuh tadbir urus syarikat milik kerajaan.

Menurut MOF cadangan itu dijangka memperketat tatacara penubuhan syarikat baharu, memperkukuh mekanisme kelulusan pelaburan dan pinjaman serta meningkatkan akauntabiliti lembaga pengarah dan pengurusan.

“Tujuannya adalah untuk memastikan keputusan korporat dibuat secara berhemat, telus dan bertanggungjawab,” menurut kementerian itu dalam jawapan bertulis disiarkan di laman sesawang Parlimen hari ini.

MOF menjawab soalan Azli Yusof (PH-Shah Alam) mengenai langkah penambahbaikan susulan laporan audit berkenaan ketirisan dana awam.

Menurutnya selain pembaharuan perundangan, kerajaan turut memperkukuh pematuhan terhadap peraturan bayaran bonus dan perolehan Badan Berkanun Persekutuan bagi memastikan urusan berkenaan mengambil kira prestasi, kemampuan kewangan serta kepentingan kerajaan.

“Kerajaan juga akan memperjelas dan menyelaras bidang kuasa agensi berkaitan bagi mengurangkan pertindihan fungsi, menutup jurang pengawasan serta memastikan pemantauan dan tindakan susulan dilaksanakan secara lebih tersusun, konsisten dan berkesan,” menurut kementerian itu.

-- BERNAMA