Am 08/10/2026 12:20 AM

Lebuhraya Pan Borneo: KKR Jadikan Teguran Lkan Pengajaran, Tambah Baik Pelaksanaan Projek - Nanta

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Lebuhraya Pan Borneo: KKR Jadikan Teguran Lkan Pengajaran, Tambah Baik Pelaksanaan Projek - Nanta

KUALA LUMPUR, 7 Okt (Bernama) -- Kementerian Kerja Raya (KKR) mengambil serius 13 penemuan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Tahun 2026 berkaitan Projek Lebuhraya Pan Borneo (LPB) Sabah Fasa 1, dan akan dijadikan pengajaran bagi menambah baik pelaksanaan projek itu serta projek pembangunan yang lain kerajaan Persekutuan.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata penemuan Jabatan Audit Negara (JAN) itu termasuk kelewatan projek, peningkatan kos, kelemahan perancangan dan ketidakpatuhan terhadap peraturan serta garis panduan.

Beliau berkata setakat 25 Ogos, hanya empat daripada 35 pakej kerja LPB Sabah Fasa 1 telah siap, manakala baki 31 pakej masih dalam pelaksanaan, dengan kemajuan fizikal Fasa 1A ialah 89.01 peratus, WP09 sebanyak 37.58 peratus dan Fasa 1B sebanyak 23.96 peratus.

“Kelewatan projek antara lain berpunca daripada perubahan kaedah pelaksanaan daripada model Rakan Pelaksana Projek (PDP) kepada kaedah konvensional, pandemik COVID-19, isu pengambilan tanah, pengalihan utiliti dan prestasi kontraktor.

“Penamatan model PDP pada 2019, turut menyebabkan proses perolehan baharu perlu dilaksanakan sebelum 15 kontraktor Fasa 1A dianugerahkan pada 2021,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Nanta berkata peningkatan kos Fasa 1A pula disebabkan pelanjutan tempoh, perubahan skop, harga kontrak pembinaan serta isu tanah dan utiliti yang belum selesai.

Bagaimanapun, status bebas halangan tapak kini mencapai 99.79 peratus bagi Fasa 1A, 96.8 peratus bagi WP09 dan 79.43 peratus bagi Fasa 1B.

Nanta berkata KKR turut mengarahkan pegawai berkaitan di JKR Sabah dan kementerian mengikuti kursus pentadbiran serta pengurusan kontrak bersama Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dan CREATE JKR Malaysia, bagi memperkukuh kemahiran dalam penyediaan Bill of Quantity, penentuan kos dan dokumen kontrak.

“Selain itu, Jawatankuasa Pemandu LPB Sabah yang ditubuhkan sejak November 2024, terus memperkukuh pemantauan melalui Program Turun Padang”, katanya.

Beliau berkata Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor turut mengesyorkan supaya jawatankuasa itu dipengerusikan bersama oleh Ketua Setiausaha KKR dan Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, bagi meningkatkan penyelarasan agensi negeri.

-- BERNAMA