Am 07/10/2026 11:58 PM

Belanjawan 2027 Perlu Fokus Kepada Pencegahan, Pilihan Lebih Sihat - APHM

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Belanjawan 2027 Perlu Fokus Kepada Pencegahan, Pilihan Lebih Sihat - APHM

KUALA LUMPUR, 7 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2027 perlu memberi penekanan lebih besar terhadap pencegahan penyakit, pendidikan kesihatan dan pembinaan budaya kesihatan lebih kukuh, dengan penyakit tidak berjangkit (NCD) dan faktor risiko berkaitan gaya hidup, diletakkan sebagai teras dalam reformasi penjagaan kesihatan.

Presiden Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM) Datuk Dr Kuljit Singh berkata sebahagian besar daripada pesakit NCD, termasuk diabetes jenis 2, hipertensi, penyakit kardiovaskular dan obesiti, amat dipengaruhi oleh faktor gaya hidup, pemakanan dan persekitaran yang sebenarnya boleh dicegah, dilengahkan atau diuruskan dengan lebih baik.

“Cara yang berkesan untuk melakukannya adalah dengan memastikan pilihan yang tidak sihat bukan lagi menjadi satu pilihan yang mudah, mahupun mampu dibeli oleh rakyat Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dr Kuljit berkata cadangan oleh organisasi penyelidikan dasar awam dan advokasi bebas Galen Centre, termasuk pemansuhan subsidi gula dan langkah fiskal yang lebih kukuh bagi mencegah corak pemakanan yang tidak sihat, wajar diberi pertimbangan yang serius oleh pembuat dasar.

Pada masa yang sama, beliau berkata kerajaan harus mempertimbangkan langkah untuk menyalurkan semula sumber ke arah menjadikan pilihan yang lebih sihat lebih mudah diakses dan mampu milik, termasuk melalui subsidi untuk buah-buahan dan sayur-sayuran segar, makanan penuh dan yang diproses secara minimum, program senaman komuniti serta pendidikan pemakanan.

Beliau berkata Belanjawan 2027 memberikan peluang untuk membina “budaya kesihatan” secara aktif di Malaysia, dengan tingkah laku sihat diterapkan dalam kehidupan seharian dan bukan hanya bergantung semata-mata kepada usaha individu.

Dr Kuljit berkata pendekatan yang sama juga patut diterapkan kepada aspek saringan dan pengesanan awal, dengan subsidi bersasar dan pembiayaan awam menjadikan saringan NCD serta penjagaan pencegahan yang bersesuaian lebih mudah diakses, terutamanya bagi mereka yang mungkin menangguhkan rawatan disebabkan oleh kekangan kos.

Beliau juga berkata orang ramai tidak seharusnya berasa terhalang daripada mendapatkan diagnosis awal, kerana bimbang diagnosis tersebut boleh menjejaskan perlindungan insurans, pekerjaan atau aspek-aspek lain dalam kehidupan mereka.

Berkenaan sistem penyampaian penjagaan kesihatan, Dr Kuljit berkata sokongan berterusan terhadap Program Penyumberan Luar Perkhidmatan Hospital, boleh membantu meringankan kekangan kapasiti dalam sistem penjagaan kesihatan awam, dengan membenarkan hospital awam menyumber luar kes-kes terpilih kepada penyedia perkhidmatan swasta.

Beliau berkata hospital-hospital swasta juga telah mencadangkan agar pendigitalan proses pelesenan Cawangan Kawalan Amalan Perubatan Swasta (CKAPS), diutamakan bagi meningkatkan kecekapan kawal selia dan mengurangkan kelewatan urusan pentadbiran.

Selain itu, beliau turut mencadangkan pengekalan pembiayaan untuk institusi-institusi penjagaan kesihatan negara dan badan-badan jaminan kualiti yang utama, termasuk Majlis Perubatan Malaysia (MMC), Majlis Pelancongan Penjagaan Kesihatan Malaysia (MHTC) dan Persatuan Kualiti Kesihatan Malaysia (MSQH).

“Menjadikan pilihan yang lebih sihat sebagai pilihan yang lebih mudah, dalam jangka masa panjang, akan mengurangkan beban serta kos terhadap sistem penjagaan kesihatan kita secara bermakna,” katanya.

-- BERNAMA