Dunia 08/10/2026 12:15 AM

Chile Anugerahkan Pingat Kepada Dua Rakyat Malaysia Atas Sumbangan Kepada Hubungan Dua Hala

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Chile Anugerahkan Pingat Kepada Dua Rakyat Malaysia Atas Sumbangan Kepada Hubungan Dua Hala

KUALA LUMPUR, 7 Okt (Bernama) -- Kerajaan Chile menganugerahkan pingat “Order of Bernardo O'Higgins” kepada dua rakyat Malaysia atas jasa luar biasa mereka dalam memperkukuh hubungan persahabatan yang sedia erat antara Malaysia dan negara itu.

Dua penerima berkenaan ialah Konsul Kehormat Chile di Pulau Pinang Datin Joelyn Teoh Lay Fung dan ahli perniagaan Liu Tai Shin.

Anugerah itu disampaikan oleh Duta Chile ke Malaysia Jaime Muñoz Sandoval dalam satu majlis yang diadakan di kediaman rasminya di sini pada Rabu.

“Order of Bernardo O'Higgins” ialah satu daripada dua Darjah Kebangsaan yang diwujudkan bagi mengiktiraf perkhidmatan yang diberikan kepada negara berkenaan oleh warganegara asing.

"Ia bertujuan memberi ganjaran kepada warganegara asing yang layak mendapat pengiktirafan atas sumbangan cemerlang mereka dalam bidang seni, sains, pendidikan, industri, perdagangan, atau kerjasama kemanusiaan dan sosial," katanya.

Darjah berkenaan dinamakan sempena serta memperingati Bernardo O'Higgins, yang merupakan pemimpin proses kemerdekaan yang bermula pada 1810 dan Ketua Negara Chile yang pertama sebagai sebuah negara berdaulat pada 1818.

Menurut Duta, Teoh pada 2022 telah menyumbang kepada  lukisan mural bersejarah di George Town bagi memperingati ulang tahun ke-500 ekspedisi Magellan, yang menghubungkan pantai Chile dan Malaysia.

Beliau juga memainkan peranan penting dalam kejayaan lima festival filem Amerika Latin di Pulau Pinang, katanya.

Teoh dalam ucapan penerimaannya berkata beliau menerima penghormatan itu sebagai simbol persahabatan yang menghubungkan Chile dan Malaysia, terutamanya Pulau Pinang.

Sementara itu, Liu, seorang pesara akauntan bertauliah dan penasihat perniagaan, diiktiraf atas komitmen dan dedikasinya dalam mempromosikan aneka wain Chile, sekali gus menjadikannya sebagai pengimport tempatan utama.

Majlis itu turut dihadiri penerima darjah “Knight Grand Cross of the Order of Bernardo O'Higgins”, Tunku Laksamana Negeri Sembilan Tunku Naquiyuddin Almarhum Tuanku Ja'afar.

-- BERNAMA