KUCHING, 7 Okt (Bernama) -- Jaringan lewat pemain import Brazil, Gabriel Peres menyelamatkan Kuching City FC daripada kekalahan apabila mengikat Tampines Rovers 2-2 dalam aksi Kumpulan A Kejohanan Kelab ASEAN (ACC) 2026/2027 di Stadium Taha Ariffin di sini malam ini.
Pada perlawanan itu, pasukan pelawat terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi Naberu Yoshitaka Furusawa pada minit ke-13 untuk membolehkan Tampines Rovers mendahului 1-0 sehingga tamat babak pertama.
Memasuki babak kedua, Kuching City tampil lebih agresif dengan meningkatkan tekanan serta mengatur beberapa gerakan berbahaya dalam usaha memburu gol penyamaan.
Usaha skuad kendalian Aidil Sharin Sahak akhirnya membuahkan hasil pada minit ke-83 apabila Peres meledak gol untuk menyamakan kedudukan 1-1.
Namun, kegembiraan tuan rumah hanya bertahan empat minit apabila Tampines Rovers kembali mendahului menerusi jaringan Koya Kazama pada minit ke-87.
Kuching City enggan mengalah dan terus melancarkan serangan sebelum Peres sekali lagi muncul wira apabila menjaringkan gol keduanya pada masa kecederaan untuk mengikat kedudukan 2-2, sekali gus memastikan kedua-dua pasukan berkongsi satu mata.
Kuching City selepas ini dijadual menerima kunjungan Borneo FC Samarinda dari Indonesia pada 9 Dis di venue sama.
Sementara itu, satu lagi aksi Kumpulan A menyaksikan Buriram United terikat tanpa jaringan dengan Borneo FC Samarinda, manakala Ratchaburi dan Ho Chi Minh City Police turut berkongsi mata selepas seri 1-1.
-- BERNAMA