Am 07/10/2026 09:42 PM

Niaga Hadapan MSM Meneruskan Kerugian, Menjejaki Kelemahan Harga Minyak Soya

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Niaga Hadapan MSM Meneruskan Kerugian, Menjejaki Kelemahan Harga Minyak Soya

Oleh Muhammad Fawwaz Thaqif Nor Afandi

KUALA LUMPUR,7  Okt (Bernama) -- Niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup rendah hari ini selepas menjejaki kelemahan dalam harga minyak kacang soya.

Peniaga proprietari Iceberg X Sdn Bhd, David Ng berkata harga minyak kacang soya yang lebih rendah memberi kesan kepada MSM memandangkan kedua-duanya adalah minyak sayuran utama yang bersaing dalam pasaran minyak makan global.

“Sentimen pasaran juga terjejas oleh kebimbangan terhadap inventori domestik yang tinggi.

“Kami melihat sokongan pada paras RM4,500 dan rintangan pada RM4,650 satu tan,” katanya kepada Bernama.

Pada penutup, kontrak Oktober 2026 susut RM30 kepada RM4,310 satu tan, November 2026 merosot RM44 kepada RM4,413 satu tan dan Disember 2026 turun RM36 kepada RM4,524 satu tan.

Sementara itu, Januari 2027 jatuh RM27 kepada RM4,636 satu tan, Februari 2027 turun RM19 kepada RM4,739 satu tan dan Mac 2027 berkurangan sebanyak RM9 kepada RM4,834 satu tan.

Jumlah dagangan menyaksikan penurunan kepada 70,612 lot berbanding 92,828 lot yang dicatatkan pada Selasa, manakala kepentingan terbuka menguncup kepada 328,944 kontrak daripada 329,375 sebelumnya.

Harga MSM fizikal bagi Oktober Selatan merekodkan kerugian sebanyak RM30 kepada RM4,350 setan.

-- BERNAMA