Am 07/10/2026 09:55 PM

Perundingan, Dialog Kaedah Diplomasi Diamalkan Malaysia Sejak Sekian Lama - Kamil Munim

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Perundingan, Dialog Kaedah Diplomasi Diamalkan Malaysia Sejak Sekian Lama - Kamil Munim
Muhammad Kamil Abdul Munim --fotoBERNAMA

KUALA LUMPUR, 7 Okt (Bernama) -- Perundingan dan dialog adalah sebahagian daripada kaedah diplomasi yang diamalkan Malaysia sejak sekian lama, kata Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan Muhammad Kamil Abdul Munim.

Beliau berkata ketika negara menerima lawatan Presiden Myanmar Min Aung Hlaing, ia tidak boleh ditafsirkan sebagai pengiktirafan dan persetujuan terhadap kekejaman yang berlaku.

“Kritikan terhadap sebarang hubungan dengan kepimpinan Myanmar memang wajar didengar. Kekejaman terhadap rakyat Myanmar tidak boleh diputihkan...,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini sebagai mengulas kritikan bekas Ahli Parlimen Klang Charles Santiago terhadap lawatan Presiden Myanmar ke negara ini.

Mengambil contoh Perdana Menteri pertama Tunku Abdul Rahman Putra yang pernah duduk semeja dengan pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM) Chin Peng dalam Rundingan Baling pada 1955, beliau berkata ia bukanlah satu pengiktirafan sebaliknya Tunku Abdul Rahman mempunyai tanggungjawab lebih besar untuk mencari jalan menghentikan keganasan dan menyelamatkan nyawa.

Begitu juga ketika Perdana Menteri kedua Tun Abdul Razak Hussein mengadakan lawatan ke Beijing pada 1974 termasuk bertemu Mao Zedong dan Zhou Enlai ketika ancaman komunis masih berlaku dalam negara, dan ia kemudiannya merintis kepada pembukaan hubungan diplomatik Malaysia-China.

Katanya, Malaysia juga pernah menjadi fasilitator rundingan antara Kerajaan Filipina dengan MILF (Barisan Pembebasan Islam Moro) dan juga proses damai di Selatan Thailand.

“Ketika kita membentangkan karpet merah menerima kunjungan Presiden Amerika Syarikat (Donald Trump), ia tidak bermakna bahawa kita mengiktiraf dasar dan pendirian mereka dalam perang Iraq dan Afghanistan serta sokongannya terhadap Israel dalam konflik di Gaza.

“Dalam semua keadaan ini, pintu rundingan dibuka bukan kerana kita bersetuju dengan setiap pihak yang duduk di meja, tetapi kerana konflik tidak akan selesai jika semua pintu komunikasi ditutup,” katanya.

Muhammad Kamil berkata dalam konteks Myanmar, Malaysia ketika menjadi Pengerusi ASEAN pada 2025, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim turut mengadakan libat urus dengan pelbagai pihak berkepentingan termasuk wakil National Unity Government (NUG).

“Pendekatannya jelas, bercakap dengan pihak-pihak yang berkepentingan untuk mencari jalan keluar kepada krisis. Justeru istilah “bentang permaidani merah” mungkin sedap sebagai tajuk politik, tetapi ia tidak menjelaskan kerumitan diplomasi,” katanya.

Beliau berkata persoalan yang lebih penting ketika di meja rundingan ialah Malaysia menuntut penghentian keganasan, akses bantuan kemanusiaan serta dialog politik yang inklusif.

Katanya, dalam konteks hubungan dua hala sekarang ialah untuk memastikan sebarang penghantaran pulang warga Myanmar dilakukan secara sukarela, bermaruah dan selamat.

“Kita boleh mengecam kekejaman dan pada masa yang sama bercakap dengan mereka yang mempunyai kuasa untuk menghentikannya.

“Kedua-duanya tidak bercanggah. Diplomasi adalah keberanian untuk bercakap dengan pihak yang kita tidak setujui apabila keamanan, keselamatan rantau dan nyawa manusia menjadi pertaruhannya,” katanya.

-- BERNAMA