Am 07/10/2026 11:11 PM

Terbuka Arctic: Zii Jia Mara Pusingan Kedua

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Terbuka Arctic: Zii Jia Mara Pusingan Kedua
Lee Zi Jia --fotoBERNAMA

KUALA LUMPUR, 7 Okt (Bernama) -- Pemain perseorangan lelaki profesional negara Lee Zii Jia berjaya melangkah ke pusingan kedua Kejohanan Badminton Terbuka Arctic, selepas menewaskan pemain China Dong Tian Yao hari ini.

Pada aksi yang berlangsung di Energia Areena, Zii Jia tidak berdepan masalah untuk menewaskan lawannya itu menerusi kemenangan 21-18, 21-14.

Bekas juara Seluruh England itu, dijadual bertemu wakil Taiwan Su Li Yang yang menewaskan rakan sepasukan Lin Chun Yi 21-17, 21-6.

Sementara itu, acara beregu lelaki menyaksikan beregu lelaki kebangsaan Aaron Tai-Yap Roy King, tidak berdepan banyak masalah mengenepikan cabaran rakan senegara Azriyn Ayub-Tan Wee Kiong, 21-12, 21-13.

Aaron-Roy King bakal bertemu pilhan ketujuh dari Taiwan Lee Fang Chih-Lee Fang Jen yang menewaskan pasangan Itali Alessandro Gozzini-Luca Zhou, 21-8, 21-10.

Turut mara, pasangan beregu lelaki profesional Chia Weijie-Teo Ee Yi, yang menewaskan gandingan Lithuania Danielius Berzanskis-Domas Paksys 21-12, 21-12.

Pasangan itu akan bertemu pasangan Taiwan Lai Po Yu-Tsai Fu Cheng yang menewaskan beregu Denmark Kim Astrup-Anders Rasmussen 21-15, 21-17.

-- BERNAMA