ALOR SETAR, 7 Okt (Bernama) -- Sebanyak 98 sampel haiwan telah diambil bagi tujuan pengesanan rabies dalam operasi kawalan dan pencegahan penyakit itu di daerah Kubang Pasu sejak 27 Sept hingga semalam.
Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Kedah Dr Shaharul Akmar Talib berkata dalam tempoh itu, tiada kes positif rabies dilaporkan hasil persampelan berkenaan.
Beliau berkata operasi survelan itu dilaksanakan dalam radius 10 kilometer dari titik wabak susulan pengesahan kes rabies membabitkan seorang lelaki berusia 31 tahun dari Kubang Pasu yang meninggal dunia pada 27 Sept lepas.
“Sebanyak 235 anjing liar, 23 kucing liar dan 161 anjing bertuan telah dipantau sejak operasi kawalan dan pencegahan dimulakan pada 27 Sept lepas,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam perkembangan sama, sebanyak 49 anjing peliharaan milik 11 pemilik telah divaksin semalam, menjadikan jumlah kumulatif pemilik yang mendapatkan vaksinasi untuk haiwan peliharaan mereka kepada 138 orang melibatkan 329 anjing dalam tempoh berkenaan.
Shaharul Akmar berkata JPV Kedah turut menerima laporan satu kes gigitan anjing bertuan dan dua kes gigitan kucing semalam, menjadikan jumlah kumulatif kes gigitan yang dilaporkan sebanyak 24 kes dalam tempoh operasi itu.
Beliau berkata pihaknya turut menerima satu aduan berkaitan populasi anjing liar semalam, menjadikan jumlah keseluruhan aduan yang diterima sejak 27 Sept sebanyak 24 kes.
Katanya, orang ramai turut diingatkan supaya segera melaporkan sebarang kejadian gigitan atau cakaran haiwan, selain memastikan haiwan peliharaan divaksinkan dan dikawal dengan baik.
Sebelum ini, Jabatan Kesihatan Negeri Kedah mengesahkan kes rabies melibatkan seorang lelaki berusia 31 tahun dari Kubang Pasu yang mempunyai sejarah digigit anjing liar pada Ogos lepas.
Lelaki berkenaan mula menunjukkan gejala pada 18 Sept sebelum sampel klinikal diambil pada 24 Sept dan disahkan positif rabies pada 26 Sept, sebelum meninggal dunia pada 27 Sept.
Kes itu merupakan kes rabies melibatkan manusia pertama dilaporkan di Kedah sejak kes terakhir di daerah Kuala Muda pada 1998, manakala kes rabies terakhir melibatkan haiwan di negeri itu berlaku pada 2018.
-- BERNAMA