Daripada Vijian Paramasivam
PHNOM PENH, 7 Okt (Bernama) -- Malaysia dan Myanmar kini dalam usaha memperdalam kerjasama ekonomi, dengan pemimpin perniagaan dari kedua-dua negara berkumpul di Kuala Lumpur pada Rabu untuk meneroka peluang pelaburan dan perdagangan baharu.
Pemain industri menghadiri "Dialog Perniagaan Peringkat Tinggi Myanmar-Malaysia" yang dianjurkan oleh Kesatuan Persekutuan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Myanmar serta Dewan Perniagaan dan Perindustrian Malaysia.
“Presiden Min Aung Hlaing membincangkan peluang untuk mengukuhkan hubungan ekonomi dua hala dan menggalakkan peningkatan kerjasama dalam perdagangan, pelaburan dan perniagaan.
“Dialog itu menyediakan platform untuk pemimpin perniagaan dan pihak berkepentingan dari Myanmar dan Malaysia bertukar pandangan dan meneroka bidang kerjasama yang berpotensi,” lapor penyiar milik kerajaan Myanmar International Television (MITV).
Acara perniagaan itu dianjurkan ketika Min Aung Hlaing memulakan lawatan dua hari ke Malaysia bermula hari ini.
Dialog itu berlangsung pada masa yang kritikal iaitu semasa Myanmar berusaha untuk membina semula ekonomi yang dilanda kelembapan selama beberapa dekad.
Pada Isnin, Min Aung Hlaing memberitahu menteri dan penggubal undang-undang wilayah di Nay Pyi Taw, ekonomi Myanmar memerlukan permulaan yang pesat.
"Statistik menunjukkan KDNK (keluaran dalam negara kasar) meningkat kira-kira tiga peratus, menyumbang kepada ekonomi negara. Namun, perkembangannya lebih perlahan berbanding negara serantau.
“Oleh itu, adalah perlu untuk mengutamakan pelabur tempatan sambil menjemput pelaburan asing,” kata presiden itu, lapor media kerajaan The Global New Light of Myanmar pada Isnin.
-- BERNAMA