Am 07/10/2026 07:37 PM

Penerima Tabung Kasih@HAWANA Adam Kong Terima Sumbangan Peribadi Fahmi Beli Kaki Palsu

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Penerima Tabung Kasih@HAWANA Adam Kong Terima Sumbangan Peribadi Fahmi Beli Kaki Palsu

LABUAN, 7 Okt (Bernama) -- Wartawan Asia Times yang berpangkalan di Labuan Adam Kong Jeng Li hari ini menjadi pengamal media ke-861, yang menerima manfaat inisiatif Tabung Kasih@HAWANA, dengan Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil turut menyampaikan sumbangan peribadinya bagi menampung pembelian kaki palsu baharu buatnya.

Fahmi menziarahi Adam, 38, di kediamannya di Taman Arena Kerupang di sini dan menyampaikan bantuan di bawah inisiatif Tabung Kasih@HAWANA X TM, yang bertujuan menyantuni pengamal media yang berhadapan masalah kesihatan, kebajikan dan kewangan.

Adam, yang dilahirkan dengan kecacatan pada kaki kanannya, telah menggunakan kaki palsu sejak berusia lapan tahun dan terpaksa menukarnya beberapa kali seiring dengan peningkatan usianya dan perubahan pada keperluan fizikalnya.

Beliau juga perlu menanggung kos membaiki kaki palsu tersebut, setiap kali terdapat bahagian yang rosak atau haus.

“Selama ini, beliau terpaksa menukar kaki palsu apabila usianya meningkat dan apabila terdapat bahagian tertentu yang rosak, pembaikan juga perlu dibuat, yang pastinya melibatkan kos tambahan.

“Kini, beliau memerlukan kaki palsu baharu yang lebih selesa dan bersesuaian dengan keperluan semasanya serta rutin harian,” katanya.

Adam telah berkhidmat dengan Asia Times sejak tahun 2023 dan kaki palsu yang digunakannya sekarang telah menjangkau usia lebih tujuh tahun serta semakin lusuh.

Keadaan itu telah menjejaskan keselesaan dan pergerakannya, selain menjadikannya lebih mencabar untuk beliau melaksanakan tugasan di lapangan sebagai seorang wartawan.

Prihatin dengan situasi Adam, Fahmi turut menyalurkan sumbangan peribadi bagi membantu meringankan kos untuk mendapatkan kaki palsu baharu tersebut.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Abdul Halim Hamzah dan Timbalan Ketua Pengarang (Perkhidmatan Berita) Bernama Shukri Ishak.

Tabung Kasih@HAWANA X TM merupakan satu inisiatif di bawah Tabung Kasih@HAWANA yang diwujudkan melalui dana tanggungjawab sosial korporat (CSR) sumbangan Telekom Malaysia (TM).

Sebanyak 90 pengamal media telah menerima manfaat daripada inisiatif Tabung Kasih@HAWANA X TM sejak ia diperkenalkan pada bulan Jun tahun ini.

Sementara itu, Tabung Kasih@HAWANA telah dilancarkan Kementerian Komunikasi melalui Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) pada April 2023, bagi menyalurkan bantuan kepada pengamal media yang memerlukan di seluruh negara.

Sebelum Adam, inisiatif tersebut telah memberi manfaat kepada 860 pengamal media di seluruh negara.

-- BERNAMA