KOTA BHARU, 7 Okt (Bernama) -- Isu anjing liar di Kelantan perlu diambil tindakan segera supaya keselamatan penduduk terutama kanak-kanak dan pelajar sekolah tidak terus terancam, kata Timbalan Menteri Besar Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan.
Beliau berkata pihak berkuasa perlu meneliti perkara itu untuk tindakan sewajarnya mengikut lunas undang-undang dengan mengutamakan keselamatan serta nyawa manusia.
“Pihak berkuasa kena teliti perkara ini, memandangkan nyawa manusia khususnya kanak-kanak serta pelajar sekolah lebih utama. Jadi ambillah tindakan yang sesuai mengikut undang-undang demi keselamatan semua,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat exco di Kompleks Kota Darulnaim, di sini hari ini.
Pada 1 Okt lepas, seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun cedera parah selepas diserang sekumpulan anjing liar di Pantai Kuala Kemasin, Bachok.
Mangsa dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II di sini untuk rawatan termasuk suntikan vaksin rabies.
-- BERNAMA