Am 07/10/2026 07:30 PM

LTAPP Rangkul Anugerah Lapangan Terbang Kecil/sederhana Terbaik Asia CAPA

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
LTAPP Rangkul Anugerah Lapangan Terbang Kecil/sederhana Terbaik Asia CAPA

GEORGE TOWN, 7 Okt (Bernama) -- Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) merangkul anugerah Lapangan Terbang Kecil/Sederhana Terbaik Asia Centre for Aviation (CAPA) sebagai pengiktirafan terhadap kecekapan operasi, perkhidmatan inovatif serta sumbangan kepada pertumbuhan ekonomi serantau.

Malaysia Airports dalam kenyataan hari ini memaklumkan LTAPP yang berperanan sebagai pintu masuk utama ke utara Semenanjung Malaysia menyediakan jaringan perhubungan penting yang menyokong sektor pelancongan, perdagangan dan pelaburan di wilayah tersebut.

Lapangan terbang itu mengendalikan empat juta penumpang pada separuh pertama tahun ini yang merangkumi 2.2 juta penumpang antarabangsa dan 1.8 juta penumpang domestik, manakala setakat bulan lepas, 27 syarikat penerbangan beroperasi di LTAPP yang menghubungkan Pulau Pinang dengan 22 destinasi.

Pengarah Urusan Malaysia Airports Datuk Mohd Izani Ghani berkata Pulau Pinang bukan sahaja destinasi pelancongan penting, malah memainkan peranan utama kepada aspirasi Malaysia untuk menerajui rantau ini dalam bidang pembuatan bernilai tinggi.

“Kami memahami cita-cita pembangunan Pulau Pinang. Selain daya tarikannya sebagai destinasi pelancongan, negeri ini memainkan peranan penting dalam hasrat Malaysia untuk memimpin rantau ini dalam bidang pembuatan bernilai tinggi. Lapangan terbangnya perlu menyediakan jaringan perhubungan dan kapasiti yang mencukupi bagi menyokong pertumbuhan tersebut.

“Sebab itu, kami melaksanakan projek pembesaran lapangan terbang ini sebagai sebahagian daripada pembangunan infrastruktur Pulau Pinang yang lebih menyeluruh. Kami membuat pelaburan bagi memenuhi keperluan industri, pelabur dan masyarakat setempat, di samping memberi ruang kepada syarikat penerbangan untuk terus berkembang,” katanya.

Anugerah tersebut disampaikan pada majlis Anugerah Kecemerlangan CAPA Asia dan Kemampanan Alam Sekitar di Chitose, Hokkaido, Jepun pada 1 Okt sempena Sidang Kemuncak Pemimpin Syarikat Penerbangan CAPA Asia.

Mohd Izani berkata anugerah itu mengiktiraf usaha pengurusan lapangan terbang serta rakan kongsi sambil menambah bahawa Malaysia Airports memikul tanggungjawab untuk terus memacu kemajuan tersebut dengan menyediakan lapangan terbang yang mampu mengimbangi aspirasi Pulau Pinang.

Menurut kenyataan itu, kerja-kerja pembesaran sedang dijalankan di LTAPP bagi meningkatkan kapasiti daripada 6.5 juta penumpang setahun kepada 12 juta orang, yang melibatkan pembesaran terminal utama dan apron pesawat serta infrastruktur sokongan bagi menampung lebih ramai penumpang dan pesawat.

Kapasiti tambahan ini akan menyokong sektor pelancongan serta jaringan perniagaan antarabangsa Pulau Pinang, khususnya yang berkaitan dengan sektor pembuatan dan pelaburan.

Pihak pengurusan juga sedang bekerjasama dengan syarikat penerbangan dan rakan kongsi pelancongan untuk membangunkan rangkaian laluan Pulau Pinang, dengan kapasiti tambahan itu dijangka menyediakan lebih banyak pilihan perjalanan serta memperkukuh akses wilayah utara ke pasaran antarabangsa.

-- BERNAMA