Am 07/10/2026 03:11 PM

50 PKS, Syarikat Pemula Disasar Raih Manfaat Dana Penilaian IP RM1 Juta - Armizan

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
50 PKS, Syarikat Pemula Disasar Raih Manfaat Dana Penilaian IP RM1 Juta - Armizan
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali (tiga, kanan) melakukan gimik perasmian majlis penutupan National Intellectual Property Commercialisation Conference and Exhibition (IP Confex) di Pusat Dagangan Antarabangsa Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.

KUALA LUMPUR, 7 Okt (Bernama) -- Sekurang-kurangnya 50 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta syarikat pemula disasarkan meraih manfaat daripada Dana Pembiayaan Penilaian Harta Intelek (IP) bernilai RM1 juta yang diterajui Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO).

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berkata peruntukan dana rintis itu disediakan bagi menampung kos perkhidmatan penilaian IP secara profesional, sekali gus membolehkan aset tidak ketara milik usahawan diiktiraf dalam sistem penilaian rasmi perbankan.

Beliau berkata langkah itu penting, terutama bagi membantu PKS berasaskan teknologi yang mempunyai aset IP bernilai, namun sukar mendapatkan kelulusan pinjaman berikutan ketiadaan cagaran fizikal tradisional seperti tanah atau bangunan. 

“Kami tahu sememangnya kos permulaan untuk membuat penilaian IP agak tinggi. Jadi, kami bantu menerusi dana pembiayaan ini yang akan diterajui oleh MyIPO,” katanya. 

Beliau berkata demikian selepas merasmikan majlis penutupan Persidangan dan Pameran Kebangsaan Pengkomersialan Harta Intelek (IP CONFEX) 2026 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur di sini hari ini. 

Armizan memaklumkan kerajaan sebelum ini telah memulakan projek rintis pembiayaan berteraskan IP bernilai RM10 juta dengan kerjasama Lembaga Pembiayaan Pembangunan Perindustrian Malaysia Berhad (MIDF) dan Pertubuhan Harta Intelek Sedunia (WIPO).

“Penglibatan aktif bank komersial untuk menerima guna instrumen kewangan baharu ini amat kritikal dalam membuka pintu kejayaan kepada lebih ramai usahawan tempatan. Pelaksanaan projek rintis RM10 juta ini membolehkan IP dicagarkan secara terus, sekali gus menyuntik kecairan tunai dengan pantas,” katanya. 

Bagi memperkukuh keyakinan institusi kewangan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup bersama MyIPO turut melancarkan Modul Penilaian Harta Intelek pertama di Malaysia untuk melatih serta melahirkan panel penilai IP bertauliah tempatan.

“Apabila semakin ramai penilai IP diiktiraf dan ekosistem ini mendapat sokongan pelbagai pihak, kos penilaian akan semakin berkurangan dan PKS tidak lagi perlu bergantung kepada dana kerajaan pada masa hadapan,” katanya. 

Inisiatif terbabit digariskan bagi menyokong pencapaian agenda Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) serta Pelan Transformasi Strategik MyIPO NEXTGEN (2025-2030), di samping memastikan hasil penyelidikan dan pembangunan (R&D) tempatan berjaya dikomersialkan.

IP CONFEX 2026 yang berlangsung selama dua hari bermula semalam menghimpunkan lebih 500 peserta serta menyaksikan pertukaran memorandum persefahaman (MoU) antara MyIPO dengan pelbagai agensi tempatan dan antarabangsa. 

-- BERNAMA