Am 07/10/2026 03:44 PM

Ahmad Fathi Manfaatkan Tanah Beris, Usaha 3,000 Pokok Nanas MD2

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Ahmad Fathi Manfaatkan Tanah Beris, Usaha 3,000 Pokok Nanas MD2
Pengusaha tanaman nanas, Ahmad Fathi Fakhrulrazi, 28, memeriksa pokok nanas varieti MD2 yang berusia lapan bulan di kebunnya di Beting Lintang di sini baru-baru ini.

JERTIH, 7 Okt (Bernama) -- Tanah beris yang kurang sesuai untuk sesetengah tanaman tidak menghalang Ahmad Fathi Fakhrulrazi, 28, mengusahakan 3,000 pokok nanas di kawasan seluas 0.07 hektar dekat Beting Lintang di sini.

Ahmad Fathi berkata bagi mengatasi masalah tanah berpasir berhampiran pantai itu, beliau menanam nanas varieti MD2 di dalam polibeg dengan setiap pokok nanas menggunakan satu polibeg.

“Kaedah ini membolehkan saya bertani walaupun pada apa jenis tanah sekalipun, selain memudahkan kawalan medium tanaman, saliran dan pembajaan.

“Menanam nanas dalam polibeg agak rumit kerana setiap beg perlu diisi tanah, membabitkan kos awal kira-kira RM9 setiap satu, namun masih dapat memberikan keuntungan sekiranya buah yang dihasilkan berkualiti,” katanya kepada Bernama di kebunnya di Beting Lintang di sini baru-baru ini.

Ahmad Fathi berkata beliau memilih menanam nanas varieti itu kerana ia mempunyai nilai pasaran tinggi, permintaan baik serta boleh dijual sebagai buah segar atau diproses menjadi produk hiliran seperti jus.

“Tanah yang kurang sesuai bukan alasan untuk tidak mengusahakannya kerana dengan kaedah yang betul, tanah itu masih boleh memberikan hasil,” katanya.

Beliau yang masih bujang itu berkata minatnya terhadap bidang pertanian bermula sejak kecil, iaitu ketika berusia enam tahun apabila diajar oleh neneknya menanam labu.

Ahmad Fathi berkata walaupun memiliki Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 3 dalam bidang Teknologi Polimer daripada Institut Latihan Perindustrian (ILP) Marang, beliau memilih bidang pertanian sebagai sumber pendapatan sendiri.

“Dalam menguruskan kebun, saya dibantu seorang pekerja dan turut melakukan sendiri kerja penjagaan tanaman. 

“Usaha itu mendapat sokongan bapa saya yang juga seorang pesara pegawai tinggi kerajaan di Putrajaya yang sentiasa mendorong saya mengembangkan projek berkenaan,” katanya.

Selain di Beting Lintang, Ahmad Fathi kini turut menanam kira-kira 10,000 pokok nanas MD2 di atas tanah seluas 0.4 hektar di Kampung Tok Raja, berhampiran rumah keluarganya di Kampung Alor Lintah dekat Jertih.

“Saya bercadang untuk mengembangkan projek tanaman nanas secara berperingkat dan membuktikan tanah yang dianggap kurang sesuai masih boleh dimanfaatkan dengan pengurusan yang baik,” katanya.

-- BERNAMA