Am 07/10/2026 05:03 PM

Kaukus Palestin Parlimen Malaysia Bawa Usul Genosid Di Gaza Untuk Perbahasan

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Kaukus Palestin Parlimen Malaysia Bawa Usul Genosid Di Gaza Untuk Perbahasan

KUALA LUMPUR, 7 Okt (Bernama) -- Kaukus Palestin Parlimen Malaysia akan mengemukakan cadangan usul tentang genosid di Gaza kepada Pejabat Yang Dipertua Dewan Rakyat serta memohon supaya usul itu dijadualkan untuk perbahasan pada sidang Parlimen minggu depan.

Pengerusinya Syed Ibrahim Syed Noh berkata antara usul yang dicadangkan merangkumi seruan untuk menuntut gencatan senjata yang berkekalan, perlindungan orang awam serta akses bantuan kemanusiaan yang selamat, berterusan dan tanpa halangan.

“Cadangan lain ialah menolak pemindahan paksa rakyat Palestin serta menegaskan hak mereka untuk menentukan nasib sendiri selain menyokong proses Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) dan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) dalam bidang kuasa masing-masing serta menghormati keputusan dan perintah kehakiman antarabangsa yang berkaitan,” katanya.

Syed Ibrahim yang juga Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam berkata demikian pada sidang media bersempena dengan Peringatan Tiga Tahun Genosid di Gaza di Bangunan Parlimen, di sini hari ini.

Ahli Parlimen Ledang itu berkata usul berkenaan turut menyeru kepada usaha memperkukuh tindakan diplomatik, termasuk penelitian terhadap bantuan ketenteraan dan pemindahan senjata yang berisiko memudahkan pelanggaran undang-undang antarabangsa.

“Selain itu, mewujudkan kerangka tindakan Malaysia yang terselaras bagi pemulihan Gaza dengan keutamaan kepada kesihatan, pendidikan, pemulihan kanak-kanak serta pembinaan semula yang diterajui oleh rakyat Palestin,” katanya.

Sehubungan dengan itu, Syed Ibrahim berkata Kaukus berkenaan menyeru supaya masa yang mencukupi diperuntukkan bagi membolehkan perbahasan yang substantif serta penyertaan Ahli Parlimen merentas parti.

“Bagi menjayakan inisiatif ini, Kaukus menyeru supaya libat urus yang terselaras diadakan bersama-sama kerajaan serta Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang untuk memuktamadkan usul tersebut serta memudah cara pembentangan dan penjadualannya selaras dengan Peraturan Mesyuarat yang berkuat kuasa,” katanya.

Sementara itu, beliau turut menyeru orang ramai untuk menyertai Himpunan Peringatan Tiga Tahun Genosid Gaza bermula dari 2 petang hingga 5 petang pada Jumaat ini yang akan bermula dari Menara Tabung Haji sebelum bergerak menuju ke Kedutaan Amerika Syarikat.

-- BERNAMA