KUALA LUMPUR, 7 Okt (Bernama) -- Kejohanan ragbi COBRA 10 sebelah (C10s) edisi ke-53 bakal menghimpunkan pasukan dari enam negara di Padang Astaka di sini pada 31 Okt dan 1 Nov ini.
Kejohanan dua hari yang merupakan antara pertandingan ragbi paling lama dianjurkan di Malaysia itu akan menyaksikan 12 pasukan lelaki elit dari Malaysia, Papua New Guinea, Australia, United Kingdom, Afrika Selatan dan Singapura berentap merebut kejuaraan.
Edisi kali ini turut mencipta kelainan menerusi penganjuran julung kali COBRA 10s Carnival Weekend yang menggabungkan kejohanan antarabangsa itu dengan kejohanan ragbi remaja COBRA 10s Mini dalam satu acara.
Presiden Kelab Ragbi COBRA Darryll Sinnappa berkata penggabungan kejohanan senior dan junior itu mencerminkan usaha kelab berkenaan meraikan perkembangan sukan ragbi di setiap peringkat, daripada kanak-kanak yang baru mengenali sukan itu hingga pemain berpengalaman yang beraksi di pentas antarabangsa.
“Tahun ini cukup istimewa buat COBRA. Dengan menganjurkan kejohanan senior dan junior secara serentak, kami meraikan setiap peringkat perkembangan sukan ini, daripada kanak-kanak yang baru mengenali ragbi hingga pemain berpengalaman yang bersaing di peringkat antarabangsa.
“Kami berterima kasih kepada penaja, rakan kerjasama, pasukan dan sukarelawan yang menjayakan penganjuran ini serta mengalu-alukan orang ramai untuk bersama-sama memeriahkannya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Selain saingan lelaki, enam pasukan wanita dan tiga pasukan veteran turut dijadual beraksi dalam perlawanan pertunjukan.
Sementara itu, COBRA 10s Mini dijangka menghimpunkan kira-kira 2,000 pemain muda lelaki dan perempuan, termasuk pasukan remaja dari Singapura dan Sri Lanka, sekali gus menyediakan platform pembangunan bakat di peringkat akar umbi seiring dengan penganjuran kejohanan antarabangsa itu.
Sebagai sebahagian daripada usaha pembangunan akar umbi, TotalEnergies dan COBRA juga akan mengadakan klinik kejurulatihan ragbi interaktif di padang kelab berkenaan serta beberapa sekolah terpilih.
Program itu memberi peluang kepada pemain muda mempelajari kemahiran teknikal dan nilai kesukanan secara langsung daripada pemain antarabangsa yang menyertai kejohanan itu.
-- BERNAMA