KUALA LUMPUR, 7 Okt (Bernama) -- Kementerian Kesihatan (KKM) mencadangkan mekanisme perlindungan atau caruman insurans kesihatan diwajibkan bagi pelarian dan pemohon suaka yang didaftarkan melalui Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP).
Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Hanifah Hajar Taib berkata langkah itu bagi memastikan kos rawatan mereka dilindungi selain mengurangkan tunggakan bil perubatan pesakit bukan warganegara.
Beliau berkata isu itu bukan semata-mata berpunca daripada kelemahan proses kutipan tetapi turut dipengaruhi kekangan kemampuan kewangan, ketiadaan perlindungan insurans serta pesakit meninggalkan fasiliti tanpa menjelaskan bayaran.
“Selain itu, maklumat identiti dan perhubungan yang tidak lengkap atau tidak tepat turut menyukarkan KKM mengesan pesakit dan mengambil tindakan susulan bagi tujuan kutipan,” katanya ketika menggulung usul Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2026 bagi kementerian itu di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata kerjasama menerusi pendekatan whole-of-government, khususnya melibatkan Jabatan Imigresen, Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Luar diperlukan bagi menangani isu itu secara lebih menyeluruh dan berkesan termasuk melalui mekanisme pengesahan dokumen identiti.
Hanifah Hajar berkata KKM memandang serius isu tersebut memandangkan lebih 80 peratus tunggakan bil perubatan disumbangkan oleh golongan pendatang tanpa izin serta golongan tanpa negara.
Bagaimanapun, beliau berkata KKM perlu memastikan rawatan diberikan kepada semua pesakit atas dasar kemanusiaan, khususnya dalam keadaan yang mengancam nyawa, selaras dengan Deklarasi Geneva (Declaration of Geneva), Sumpah Hippocrates (Hippocratic Oath) dan Deklarasi Alma Ata 1978.
Beliau berkata jumlah Akaun Belum Terima (ABT) hasil secara keseluruhan bagaimanapun menunjukkan trend penurunan daripada anggaran RM359 juta pada 2024 kepada RM336 juta pada 2025, iaitu pengurangan sebanyak RM23 juta.
Hanifah Hajar berkata antara tindakan kutipan yang dilaksanakan fasiliti kesihatan KKM ialah mengeluarkan tiga surat peringatan secara bertempoh dan notis tuntutan atau undang-undang, selain menghubungi kedutaan negara asal atau waris terdekat serta membuat tuntutan kepada majikan.
“KKM juga memperkukuh pendekatan collect before discharge menerusi kutipan deposit dan bayaran semasa rawatan, memperluas saluran pembayaran tanpa tunai serta meningkatkan pemantauan ABT melalui jawatankuasa berkaitan di peringkat kementerian,” katanya.
Beliau berkata kerjasama dengan majikan, syarikat insurans dan badan bukan kerajaan turut diperkukuh, selain meningkatkan nilai jaminan bank bagi majikan dan syarikat swasta selaras dengan peningkatan kos rawatan.
Justeru, katanya, kementerian dan agensi kerajaan berkaitan diharap terus memperkukuh tindakan penguatkuasaan dan kawalan terhadap kemasukan serta pengurusan warga asing, khususnya melibatkan pendatang tanpa izin dan pelarian demi memastikan kelestarian sistem perkhidmatan kesihatan negara.
Sementara itu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming ketika menggulung usul LKAN 2/2026 bagi kementeriannya berkata ketiga-tiga isu membabitkan kementerian itu adalah berkaitan projek di Sabah.
Beliau berkata isu berkenaan melibatkan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Permai Selagon di Beaufort, pembinaan semula kuarters Balai Bomba dan Penyelamat Semporna serta pembinaan Balai Bomba dan kuarters Merotai.
Nga berkata ketiga-tiga isu yang dibangkitkan dalam LKAN itu merupakan masalah lama, namun Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan memberi tumpuan kepada penyelesaian serta langkah mencegah agar perkara sama tidak berulang.
“Namun Kerajaan MADANI menerusi KPKT tidak berhasrat menuding jari, sebaliknya kita kekal komited dan proaktif memacu solusi terbaik demi kesejahteraan rakyat,” katanya.
-- BERNAMA