Am 07/10/2026 05:58 PM

Malaysia Perlu Pertimbang Syarat Timbal Balik Terhadap Udang Thailand - KPKM

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Malaysia Perlu Pertimbang Syarat Timbal Balik Terhadap Udang Thailand - KPKM
Datuk Chan Foong Hin

KUALA LUMPUR, 7 Okt (Bernama) -- Malaysia perlu mempertimbangkan untuk mengenakan syarat setara terhadap kemasukan udang Thailand sekiranya negara jiran itu kekal mengenakan keperluan ujian praeksport bagi setiap konsainan udang serta mengehadkan kemasukan siakap Malaysia ke negara itu. 

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Chan Foong Hin berkata tindakan itu merangkumi penetapan ujian praeksport mandatori bagi setiap konsainan meliputi senarai penyakit serta sijil kesihatan yang dipersetujui bersama.

Beliau berkata keutamaan kerajaan pada masa ini ialah menyelesaikan pertikaian tersebut menerusi rundingan teknikal dan diplomatik dua hala berasaskan bukti saintifik.

"Sekiranya Thailand mengekalkan keperluan ujian praeksport bagi setiap konsainan udang Malaysia serta mengehadkan fasilitasi kemasukan siakap kepada dua syarikat sahaja, Malaysia perlu mempertimbangkan untuk menetapkan keperluan yang setara terhadap udang Thailand,” katanya. 

Beliau berkata demikian pada sesi Kamar Khas Dewan Rakyat hari ini bagi menjawab soalan Rodziah Ismail (PH-Ampang) berhubung impak sekatan perdagangan akuakultur oleh Thailand serta strategi kerajaan dalam menangani halangan bukan tarif tersebut pada sesi Kamar Khas di Parlimen, hari ini.

Bagaimanapun, Chan berkata Malaysia boleh mempertimbangkan penarikan balik sekatan terhadap udang Thailand sekiranya negara itu bersetuju membuka semula akses pasaran udang Malaysia tanpa keperluan ujian praeksport secara mandatori bagi setiap konsainan serta memperluas kemudahan kemasukan kepada premis ikan siakap Malaysia yang layak.

Mengulas tentang kesan sekatan itu, beliau berkata walaupun eksport udang ke Thailand merosot sejak sekatan dikuatkuasakan pada 2017, pengusaha tempatan berjaya mengalihkan fokus ke pasaran alternatif yang lebih bernilai tinggi.

“Sekatan udang ke Thailand sejak 2017 telah mengakibatkan eksport kita berkurangan kepada 3,024 tan metrik bernilai RM6.9 juta pada 2024.

“Namun, pasaran alternatif selain Thailand berkembang baik, contohnya kita mengeksport ke Singapura sebanyak 10,000 tan metrik bernilai RM176 juta, manakala China mengimport 5,000 tan metrik bernilai RM166 juta,” katanya. 

Berhubung perkembangan rundingan dengan Thailand, beliau berkata negara itu telah menerima secara prinsip sistem kawalan biosekuriti Malaysia dan bersetuju memberikan kemudahan laluan hijau kepada syarikat serta ladang tempatan yang memenuhi piawaian.

Beliau berkata Malaysia dalam rundingan bersama dengan Thailand pada tahun ini mencadangkan supaya kemudahan tersebut diperluas kepada semua ladang, pusat pengumpulan dan pengeksport yang memenuhi syarat. 

-- BERNAMA