KUALA LUMPUR, 7 Okt (Bernama) -- ASEAN School of Regulation (ASR) (Sekolah Pengawalseliaan ASEAN) telah dilancarkan secara rasmi pada Mesyuarat Menteri-Menteri Tenaga ASEAN (AMEM) ke-44, menandakan satu langkah penting ke arah memperkukuh keupayaan kawal selia dan kerjasama serantau bagi menyokong peralihan tenaga serta sistem kuasa (tenaga elektrik) saling berhubung di ASEAN.
ASR ialah usaha bersama Rangkaian Pengawal Selia Tenaga ASEAN, Pusat Tenaga ASEAN dan Sekretariat ASEAN, dengan kerjasama Perkongsian Peralihan Tenaga Asia Tenggara di bawah Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk Perkhidmatan Projek serta Suruhanjaya Ekonomi dan Sosial Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Asia dan Pasifik.
Sesi pelancaran rasmi itu menampilkan ucapan pembukaan oleh Setiausaha Agung ASEAN Dr Kao Kim Hourn, Ketua Setiausaha Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Datuk Seri Mad Zaidi Mohd Karli, dan Setiausaha Jabatan Tenaga Filipina Sharon S Garin.
"Malaysia, sebagai tuan rumah, komited untuk menyediakan kesinambungan dan kepimpinan yang diperlukan bagi membangunkan ASR menjadi institusi serantau yang mampan, sambil bekerjasama rapat dengan pihak kawal selia ASEAN dan rakan kongsi antarabangsa dalam aspek kerjasama, perkongsian ilmu dan peningkatan kapasiti," kata Mad Zaidi dalam satu kenyataan bersama oleh pihak-pihak yang terlibat di sini hari ini.
Dengan tumpuan awal terhadap integrasi sistem kuasa dan perdagangan elektrik pelbagai hala, ASR akan menyokong pelaksanaan Grid Kuasa ASEAN (GKA) dan bidang program lain yang berkaitan di bawah Pelan Tindakan ASEAN bagi Kerjasama Tenaga 2026-2030.
Ia juga bertujuan untuk memperkukuh kejelasan kawal selia, konsistensi dan keupayaan pelaksanaan merentas negara anggota ASEAN, sekali gus mewujudkan keadaan yang lebih boleh diramal bagi pelaburan jangka panjang dalam grid, tenaga bersih, penyimpanan tenaga, pendigitalan dan infrastruktur tenaga rentas sempadan.
ASR berhasrat untuk melangkah melangkaui latihan sekali sahaja ke arah mewujudkan sistem serantau mampan bagi membangunkan pemimpin kawal selia, mengekalkan pengetahuan institusi dan menterjemahkan pembelajaran bersama kepada tindakan kawal selia.
Menerusi program berstruktur dan berorientasikan amalan yang meliputi sistem kuasa, reka bentuk pasaran, kawal selia ekonomi dan perdagangan kuasa pelbagai hala, sekolah ini akan melengkapkan pihak kawal selia dengan keupayaan teknikal, institusi dan kepimpinan diperlukan untuk menangani cabaran semasa serta memajukan pelaksanaan GKA.
Hasil utama inisiatif ini termasuk membina dan mengekalkan keupayaan kawal selia, memajukan penyelarasan serta kesalingoperasian kawal selia, dan mewujudkan komuniti serantau yang terdiri daripada pemimpin kawal selia. Satu lagi sasaran utama ialah mempercepatkan penyelesaian bagi cabaran kawal selia yang baharu muncul, seperti integrasi tenaga boleh baharu, fleksibiliti sistem, penyimpanan tenaga, pendigitalan, serta reka bentuk tarif dan pasaran.
Malaysia, melalui Suruhanjaya Tenaga telah komited untuk menyokong penganjuran program ini di Malaysia semasa Mesyuarat Khas Pegawai Kanan Tenaga pada bulan Januari 2026, manakala UNITEN Research and Development akan bertindak sebagai institusi tuan rumah yang menyediakan pusat operasi serta lokasi tetap bagi sekretariat ASR.
-- BERNAMA