Am 07/10/2026 04:16 PM

RM2.24 Juta Diperuntuk Bagi Transformasi PPR Wangsa Sari - DBKL

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
RM2.24 Juta Diperuntuk Bagi Transformasi PPR Wangsa Sari - DBKL
Kredit: FB - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur

KUALA LUMPUR, 7 Okt (Bernama) -- Sebanyak RM2.24 juta diperuntukkan bagi mentransformasikan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Wangsa Sari, Wangsa Maju di sini menerusi kerja-kerja penyelenggaraan dan peningkatan kemudahan.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam kenyataan hari ini memaklumkan, kerja-kerja itu memberi tumpuan kepada keselamatan, keselesaan serta kualiti kehidupan 1,061 penduduk, termasuk projek pembinaan jambatan baharu merentasi rizab Sungai Bonus bernilai RM200,000 bagi akses yang lebih selamat kepada komuniti setempat.

Menurut kenyataan itu, perkara berkenaan disampaikan menerusi lawatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh bersama dengan Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Fadlun Mak Ujud ke PPR itu hari ini bagi meninjau pelaksanaan Program Penyelenggaraan Perumahan Awam DBKL serta cadangan penambahbaikan kemudahan komuniti di kawasan itu.

“Daripada keseluruhan peruntukan RM2.24 juta, sebanyak RM1.10 juta diperuntukkan bagi kerja mengecat bangunan, RM904,000 bagi penggantian sub-main cable dan main switch board, RM136,000 bagi kerja-kerja penurapan jalan serta RM101,000 bagi peningkatan sistem keselamatan kebakaran.

“Keseluruhan peruntukan ini akan digunakan bagi mempertingkatkan keadaan fizikal bangunan, memperkukuh aspek keselamatan serta memastikan kemudahan asas dan persekitaran kediaman berada pada tahap yang lebih baik untuk kegunaan penduduk,” menurut kenyataan itu.

DBKL turut melaksanakan projek pembinaan jambatan sepanjang 18 meter dengan lebar laluan dua meter merentasi rizab Sungai Bonus ke PPR Wangsa Sari dengan kos anggaran RM200,000.

Kenyataan itu memaklumkan, projek yang dilaksanakan pada Okt hingga Dis 2026 itu bakal menyediakan laluan yang lebih selamat dan mudah kepada penduduk, khususnya bagi akses ke Padang Wangsa Sari selain membantu mengurangkan risiko keselamatan di Jalan 2/27A.

Selain itu, kemudahan berkenaan dijangka menggalakkan penggunaan kawasan rekreasi serta aktiviti riadah dan interaksi sosial dalam kalangan komuniti setempat.

“Pelaksanaan projek-projek ini membuktikan komitmen DBKL untuk memastikan perumahan awam bukan sekadar menyediakan tempat tinggal, tetapi turut dilengkapi persekitaran yang selamat, selesa dan menyokong kesejahteraan komuniti.

“DBKL akan terus mempergiat usaha penyelenggaraan dan penambahbaikan perumahan awam melalui pelaksanaan projek yang memberi impak langsung kepada kehidupan warga kota, selaras dengan aspirasi menjadikan Kuala Lumpur sebuah bandar raya untuk semua,” menurut kenyataan itu.

PPR Wangsa Sari yang dibina pada 2008 adalah sebuah blok 21 tingkat melibatkan 272 unit kediaman, dengan 173 unit merupakan unit jualan manakala 99 unit merupakan unit sewaan.

-- BERNAMA