Am 07/10/2026 05:21 PM

Diplomat Muda Perlu Kuasai Kepelbagaian Pendekatan Hadapi Perubahan Geopolitik

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Diplomat Muda Perlu Kuasai Kepelbagaian Pendekatan Hadapi Perubahan Geopolitik
kredit: FB Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Bin Haji Hasan

PUTRAJAYA, 7 Okt (Bernama) -- Bakal diplomat muda perlu didedahkan kepada kepelbagaian pendekatan dan pengalaman, bagi membolehkan mereka menyesuaikan diri dengan perubahan landskap geopolitik dan geoekonomi dunia yang semakin tidak menentu.

Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata tugas seorang diplomat pada masa kini, tidak lagi boleh terikat kepada pendekatan tradisional, sebaliknya memerlukan keupayaan untuk berubah dan menyesuaikan diri, khususnya berdepan perkembangan teknologi yang pesat.

“Tidak seharusnya kita rigid kepada satu arah saja, tetapi memerlukan kita pelbagaikan approach dalam keadaan suasana yang berubah-ubah, terutamanya di dalam keadaan geopolitik dan geoekonomi dunia yang tidak menentu.

“Jangan dilihat penempatan kita itu sebagai sesuatu yang penderaan ataupun menyeksakan. Anggap setiap posting sebagai pengalaman baharu untuk kita timba sebagai diplomat,” katanya berucap pada Majlis Graduasi Program Diploma in Diplomacy 2026, di sini hari ini.

Mohamad berkata kepelbagaian situasi dan pengalaman sepanjang penempatan, perlu dimanfaatkan untuk membentuk diplomat yang lebih berpengetahuan, berpengalaman dan mampu berhadapan cabaran semasa.

Beliau berkata Malaysia juga perlu berusaha mengembalikan kedudukannya sebagai pusat rujukan dalam bidang diplomasi, khususnya dalam kalangan negara ASEAN.

“Dahulu jika perjanjian antarabangsa, dokumentasi antarabangsa, semua diplomat terutamanya dari ASEAN, mereka akan rujuk kepada diplomat Malaysia. Sekarang ini kita tertinggal,” katanya.

Sehubungan dengan itu, Mohamad berkata Ketua Setiausaha Kementerian Luar perlu mempercepat usaha memperkukuh pendedahan, pengalaman dan pengetahuan dalam kalangan diplomat negara, bagi memastikan Malaysia tidak terus ketinggalan berbanding negara jiran.

Beliau berkata negara-negara yang sebelum ini kurang menonjol dalam bidang diplomasi, kini telah berjaya melahirkan diplomat yang lebih cemerlang, sekali gus menjadi cabaran kepada Malaysia untuk meningkatkan keupayaan modal insan dalam bidang berkenaan.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan graduan DiD supaya tidak menganggap penerimaan diploma sebagai pengakhiran kepada proses pembelajaran.

“Jangan ingat selepas dapat DiD ini, ia suatu pengakhiran kepadanya. Proses belajar mesti berterusan. Proses belajar tidak berhenti selepas kita menerima skrol Diploma in Diplomacy ini,” katanya.

Beliau turut menegaskan kepentingan mempertahankan bendera dan imej negara dalam apa jua keadaan, khususnya ketika menjalankan rundingan dan perbahasan antarabangsa.

Mohamad berkata Malaysia sebagai sebuah negara yang bebas dan berkecuali tidak seharusnya membenarkan mana-mana pihak menentukan atau memaksa negara membuat keputusan bagi pihak mereka.

“We are the speakers, we are not spoken for. Jadi kita jangan menjadi sebagai orang yang menjadi taruhan untuk kita melaksanakan dasar bagi pihak orang lain,” katanya.

Beliau berkata diplomat Malaysia juga perlu terus berpegang kepada teras diplomasi negara yang telah dibentuk sejak sekian lama, dengan kepentingan nasional sentiasa menjadi keutamaan dalam setiap rundingan dan perbahasan.

“Jaga integriti. Jangan kita terbawa-bawa kerana walau di mana kita berada, itu semua dunia sementara. Yang penting integriti dalam diri kita ini perlu kuat,” katanya.

Sementara itu, pada majlis itu sebanyak 20 Pegawai Tadbir dan Diplomatik dari Kementerian Luar dan Jabatan Perdana Menteri, menerima diploma masing-masing daripada Mohamad.

-- BERNAMA