Am 07/10/2026 05:26 PM

Renang Pulang Tangan Kosong Di Aichi-Nagoya, MAS Kekal Barisan Kejurulatihan

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Renang Pulang Tangan Kosong Di Aichi-Nagoya, MAS Kekal Barisan Kejurulatihan
Michael Fitzgerald Kinross

KUALA LUMPUR, 7 Okt (Bernama) --  Akuatik Malaysia (MAS) tidak bercadang merombak barisan kejurulatihan skuad renang negara meskipun gagal meraih sebarang pingat pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 di Jepun yang melabuhkan tirainya Ahad lepas.

Setiausaha Agung MAS Andy Low berkata barisan kejurulatihan sedia ada, termasuk ketua jurulatih dari Amerika Syarikat Michael Kinross yang dilantik pada Mei lepas, menunjukkan perkembangan positif dan wajar diberi masa untuk meneruskan perancangan sedia ada.

Beliau berkata meskipun tiada sasaran khusus diletakkan kepada skuad renang pada temasya empat tahun sekali itu, kejayaan memperbaharui satu rekod kebangsaan tetap dilihat sebagai perkembangan positif.

“Tiada sasaran diletakkan kepada skuad renang (pada Sukan Asia 2026), namun sekurang-kurangnya terdapat satu rekod kebangsaan yang berjaya dipecahkan.

“Jurulatih yang kita ada ketika ini menunjukkan kemajuan. Dia (Kinross) baru lima bulan bersama pasukan. Kalau kita selalu tukar jurulatih pun tidak boleh kerana ia boleh mengelirukan perenang dan menjejaskan perancangan sedia ada,” katanya.

Low berkata demikian selepas mesyuarat pascanilai prestasi skuad renang negara pada Sukan Asia 2026 yang turut dihadiri Presiden MAS Datuk Seri Shahidan Kassim di sini hari ini.

Selain Kinross, barisan kejurulatihan skuad renang negara turut dibarisi jurulatih dari Denmark Magnus Hojby Andersen, manakala Megan Oesting dari Amerika Syarikat bertindak sebagai pengarah teknikal.

Sementara itu, Low berkata mesyuarat berkenaan tidak membincangkan kedudukan perenang dalam skuad kebangsaan, termasuk kemungkinan mana-mana atlet digugurkan.

Pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026, kuartet negara dibarisi Khiew Hoe Yean, Arvin Shaun Singh Chahal, Lim Yin Chuen dan Tan Khai Zin memperbaharui rekod kebangsaan acara 4x200 meter (m) gaya bebas lelaki dengan catatan tujuh minit 18.79 saat untuk menduduki tempat kelima.

Catatan yang dilakukan di Pusat Akuatik Tokyo itu mengatasi rekod terdahulu 7:19.50s yang dilakar pada Sukan SEA Thailand 2025, Disember lepas.

Kali terakhir Malaysia meraih pingat dalam acara renang pada Sukan Asia adalah menerusi Alex Lim Keng Liat yang memenangi perak acara 100m kuak lentang pada edisi 2002 di Busan, Korea Selatan.

-- BERNAMA