KUALA LUMPUR, 7 Okt (Bernama) -- Dua tokoh korporat yang juga adik-beradik bergelar Datuk Seri dan Datuk Wira yang sebelum ini direman lima hari bagi membantu siasatan kes disyaki bersubahat menyeleweng serta menyalahgunakan kedudukan dalam urusan pelaburan bernilai kira-kira RM10 juta, dibebaskan dengan jaminan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Menurut sumber SPRM, suspek bergelar Datuk Wira dibebaskan pada Isnin lepas sebaik tempoh reman berakhir.
“Seorang lagi suspek bergelar Datuk Seri dilepaskan hari ini selepas tempoh remannya yang dilanjutkan selama dua hari tamat,” menurut sumber berkenaan.
Pada 1 Okt lepas, kedua-dua suspek lelaki berusia lingkungan 40-an dan 50-an itu direman lima hari, selepas ditahan pada 30 Sept lepas ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.
Sumber itu berkata SPRM turut menyita 15 kereta mewah bernilai kira-kira RM31 juta, 12 motosikal berkuasa tinggi bernilai kira-kira RM5 juta, lima jam tangan mewah, tiga gelang tangan serta wang tunai kira-kira RM30,000 selain turut membekukan dua akaun peribadi bernilai kira-kira RM2 juta.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Abd Halim Aman ketika dihubungi Bernama mengesahkan perkara tersebut.
-- BERNAMA