Am 07/10/2026 04:03 PM

RUU Perubahan Iklim Dijangka Dibentang Pada Sidang Dewan Rakyat Kali Ini - Arthur

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
RUU Perubahan Iklim Dijangka Dibentang Pada Sidang Dewan Rakyat Kali Ini - Arthur
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup ketika sidang media selepas merasmikan Pameran dan Persidangan Antarabangsa Teknologi Hijau dan Produk Eko Malaysia (IGEM) 2026 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) hari ini.

KUALA LUMPUR, 7 Okt (Bernama) -- Rang Undang-Undang (RUU) Perubahan Iklim dijangka dibentangkan pada persidangan Dewan Rakyat yang sedang berlangsung sebaik memperoleh kelulusan Kabinet, kata Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Datuk Seri Arthur Joseph Kurup.

Beliau berkata penggubalan RUU itu secara dasarnya telah mendapat persetujuan prinsip Jemaah Menteri, manakala sesi libat urus bersama kerajaan negeri khususnya Sabah dan Sarawak selesai dilaksanakan bagi memastikan hak serta kedaulatan perundangan negeri terus terpelihara.

"Sekiranya mendapat lampu hijau atau kelulusan, kita akan maklumkan Setiausaha Dewan Rakyat supaya RUU ini boleh dibentangkan dalam sesi yang sedang berlangsung sekarang," katanya kepada pemberita selepas acara pemotongan riben sempena Persidangan Produk Teknologi Hijau dan Eko Antarabangsa Malaysia (IGEM) 2026 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini hari ini. 

Menyentuh isu jerebu rentas sempadan, Arthur memaklumkan Malaysia masih menunggu kelulusan rasmi daripada kerajaan Indonesia bagi menghantar bantuan memadamkan kebakaran hutan di negara itu.

"Belum ada (anggaran tarikh), tetapi daripada pihak Malaysia kita sudah bersedia dari segi aset, kepakaran dan juga tenaga kerja, kita bersedia untuk membantu," katanya.

Beliau berkata surat rasmi mengenai tawaran bantuan itu telah disampaikan kepada Menteri Lingkungan Hidup Indonesia Moh Jumhur Hidayat sebelum disusuli perbincangan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semasa lawatan kerja beliau ke republik berkenaan baru-baru ini.

"Beliau (Ahmad Zahid) telah berjumpa dengan Presiden Indonesia Prabowo Subianto dan kita telah mendapat persetujuan. Sekarang kita sedang menyelaraskan prosedur tersebut melalui Kementerian Luar bersama pihak berkuasa Indonesia," katanya.

Mengenai situasi kualiti udara semasa, Arthur berkata prosedur operasi standard (SOP) menerusi Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan sedia diaktifkan mengikut tahap bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU), selain mempergiat pemantauan di stesen cerapan seluruh negara.

"Sekiranya bacaan IPU melepasi had, Kementerian Pendidikan akan dimaklumkan untuk mengambil tindakan di bawah kuasa mereka. Pada masa sama, kita sentiasa memberi nasihat kepada orang ramai supaya elakkan atau kurangkan aktiviti di luar. 

"Bagi mereka yang mungkin mempunyai imuniti yang agak rendah, kalau boleh jangan keluar langsung, pakai pelitup muka dan banyak minum air," katanya. 

-- BERNAMA