KUALA LUMPUR, 7 Okt (Bernama) -- Sabah memerlukan peruntukan lebih besar dalam Belanjawan 2027 bagi menangani isu asas, termasuk bekalan air, jalan raya, elektrik, pendidikan dan capaian digital, khususnya di kawasan luar bandar serta pedalaman.
Pengerusi Institut Kajian Pembangunan Sabah (IDS) Datuk Seri Azizah Mohd Dun berkata isu tiga serangkai, iaitu air, elektrik dan jalan raya, masih menjadi antara cabaran paling kritikal yang memerlukan perhatian serta peruntukan Kerajaan Persekutuan.
“Untuk air, kami dapati masalahnya ialah kita mempunyai sekitar 60 peratus Air Tidak Berhasil (NRW). Ertinya, lebih separuh daripada air yang terawat tidak sampai kepada pengguna,” katanya ketika menjadi tetamu program Apa Khabar Malaysia terbitan Bernama TV di sini hari ini.
Azizah berkata sekurang-kurangnya RM500 juta diperlukan bagi membaiki saluran air dan menggantikan paip usang di seluruh Sabah sementara menunggu projek bekalan air Ulu Padas yang dijangka mula membekalkan air pada 2029 manakala jumlah sama dicadangkan bagi menaik taraf dan membina jalan raya ke kampung-kampung terpencil, termasuk di Kota Marudu, Pitas dan Tongod.
Beliau berkata bagi sektor elektrik, gangguan bekalan purata di Sabah berjaya dikurangkan daripada 558 minit kepada 226 minit, namun penambahbaikan masih diperlukan, termasuk mempercepatkan pembangunan talian penghantaran voltan tinggi, dengan RM300 juta dicadangkan bagi meningkatkan capaian elektrik dan bekalan kuasa.
Dalam sektor pendidikan dan hubungan digital pula, Azizah berkata 968 sekolah di Sabah mempunyai bangunan yang daif, selain terdapat kawasan yang masih berdepan capaian Internet kurang stabil, justeru sekurang-kurangnya RM300 juta diperlukan bagi menaik taraf sekolah serta memperluas capaian Internet, terutama untuk pelajar luar bandar.
“Pembangunan luar bandar juga perlu beralih daripada pendekatan bantuan semata-mata kepada pendekatan berasaskan peluang ekonomi bagi mengurangkan jurang antara daerah di Sabah, dengan perusahaan sosial, pelancongan berasaskan komuniti dan industri kreatif antara sektor yang perlu diberi perhatian,” katanya.
Beliau mencadangkan RM170 juta bagi perusahaan sosial, RM56 juta untuk industri kreatif, RM100 juta bagi perusahaan kotej dan mikro serta RM184 juta untuk ekonomi informal termasuk penjaja, petani, penternak, nelayan dan pengeluar kecil bagi membantu masyarakat luar bandar menjana pendapatan secara berterusan.
Menurut Azizah, industri kraf tangan juga berpotensi menjadi sumber pendapatan berterusan kepada komuniti setempat, termasuk di daerah Sook yang menyaksikan kegiatan seorang pengusaha memberi manfaat kepada lebih 300 anggota komuniti.
Sementara itu, Pengerusi NGO Solidariti Anak Sabah Sam Kulian berkata pembangunan ekonomi Sabah juga perlu dirasai rakyat di peringkat akar umbi, termasuk petani, nelayan, peniaga kecil dan golongan muda menerusi bantuan modal, pemasaran serta akses Internet.
“Kalau kita mahu ekonomi itu berkembang, kita mesti pastikan rakyat Sabah itu sendiri turut merasai hasil pembangunan itu, bukan hanya di peringkat syarikat-syarikat besar,” katanya.
-- BERNAMA