Am 07/10/2026 02:45 PM

Jerebu: Langkah Penutupan Sekolah Wajar Demi Kesihatan Murid

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Jerebu: Langkah Penutupan Sekolah Wajar Demi Kesihatan Murid
Naib Yang Dipertua PIBG Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato' Bentara Luar, Mohd Hamidi Mad Tap (kanan) menunjukkan notis penutupan sekolah susulan arahan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Batu Pahat yang memaklumkan semua sekolah di daerah itu ditutup berkuat kuasa hari ini berikutan keadaan kualiti udara tidak sihat.

BATU PAHAT, 7 Okt (Bernama) -- Penutupan semua sekolah, tadika dan taska di daerah ini berikutan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) sangat tidak sihat mendapat sokongan penuh Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta ibu bapa, yang menganggap langkah itu wajar demi keselamatan dan kesihatan murid.

Naib Yang Dipertua PIBG Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Bentara Luar Mohd Hamidi Mad Tap berkata langkah penutupan itu amat bertepatan bagi melindungi tahap kesihatan pelajar daripada risiko penyakit berkaitan pernafasan.

Sehubungan dengan itu, beliau menggesa ibu bapa memainkan peranan penting dengan memantau pergerakan anak-anak di rumah serta memastikan mereka tidak ketinggalan mengikuti sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) sepanjang tempoh penutupan berkenaan.

“Buat masa ini, penutupan sekolah di daerah ini berkuat kuasa hari ini (7 Okt). Sekiranya ada lanjutan penutupan, ibu bapa diminta mematuhi pekeliling yang dikeluarkan oleh pihak kementerian dari semasa ke semasa.

“Dalam masa sama, ibu bapa digalakkan memastikan anak-anak minum air kosong dengan kerap dan memakai pelitup muka bersesuaian seperti N95 sekiranya perlu keluar atas urusan kecemasan,” katanya ketika ditemui di SMK Dato’ Bentara Luar di sini, hari ini.

Mohd Hamidi berkata pihak sekolah dan PIBG memberikan jaminan bahawa kelangsungan akademik pelajar tidak akan terjejas kerana sesi PdPR dijalankan mengikut prosedur yang ditetapkan KPM melalui platform rasmi seperti Google Classroom, WhatsApp atau Telegram.

Sementara itu, warga emas Md Khadis Liman, 65, turut menyokong pelaksanaan PdPR kerana langkah itu dapat memastikan aktiviti pembelajaran murid tidak terhenti meskipun sekolah ditutup.

“Walaupun sekolah ditutup, aktiviti menuntut ilmu perlu diteruskan. Kita pernah ada pengalaman semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat COVID-19 beberapa tahun lepas dan tidak mustahil perkara ini boleh dilakukan kini demi penjagaan kesihatan anak-anak,” katanya.

Murid Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Medan, Haziq Safwan Hadi Sarhan, 11, berkata dia perlu menumpukan perhatian untuk sesi PdPR secara dalam talian agar tidak ketinggalan dalam pelajaran.

Muhammad Nur Ridzuan Khairi Adzhar, 36, menyifatkan penutupan institusi pendidikan, terutamanya sekolah rendah adalah wajar memandangkan murid kecil lebih berisiko terdedah kepada masalah kesihatan akibat jerebu.

“Saya berharap talian Internet, terutamanya di kawasan luar bandar berada dalam keadaan baik supaya sesi PdPR anak-anak tidak terganggu,” katanya.

Semalam, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Batu Pahat mengeluarkan arahan penutupan semua sekolah, tadika dan taska di daerah itu bermula hari ini berikutan IPU mencatat bacaan sangat tidak sihat, iaitu 203 pada 8 malam.

Penutupan itu melibatkan keseluruhan 176 sekolah di bawah KPM di Batu Pahat merangkumi 144 sekolah rendah, 31 sekolah menengah dan sebuah Kolej Vokasional.

Susulan itu, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor Mohd Fared Mohd Khalid dalam kenyataan turut memaklumkan sebanyak 106 Sekolah Agama Kerajaan Johor termasuk Sekolah Rendah Agama Bersepadu (SRAB) serta 53 Institusi Pengajian Islam Swasta (IPIS) berdaftar di daerah Batu Pahat turut diarahkan tutup berkuat kuasa hari ini.

-- BERNAMA