LANGKAWI, 7 Okt (Bernama) -- Kerajaan Persekutuan diminta memberi perhatian khusus kepada Langkawi menerusi Belanjawan 2027 dengan menyediakan langkah dan peruntukan bersasar bagi menangani kelesuan sektor pelancongan serta meningkatkan semula pendapatan pengusaha pelancongan dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di pulau peranginan itu.
Pengerusi badan bukan kerajaan, Anak Muda MADANI Kedah Datuk Zuraidi Rahim berkata suntikan baharu amat diperlukan bagi membantu menggerakkan kembali aktiviti ekonomi Langkawi yang banyak bergantung kepada sektor pelancongan.
Beliau berkata antara perkara yang perlu diberi perhatian ialah mengembalikan sepenuhnya status Langkawi sebagai bebas cukai yang sebelum ini menjadi antara tarikan utama kepada pelancong berkunjung ke pulau tersebut.
“Saya amat mengharapkan sentuhan daripada kerajaan Persekutuan menerusi Belanjawan 2027 untuk Langkawi, khususnya dalam isu berkaitan kemudahan bebas cukai untuk menggalakkan kedatangan pelancong.
“Saya harap Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan dapat memberi perhatian kepada isu ini kerana sektor pelancongan Langkawi sangat terkesan,” katanya ketika ditemui selepas program Santai Bersama Anak Muda Langkawi di sini hari ini.
Zuraidi berkata perhatian khusus itu penting kerana pemulihan sektor pelancongan bukan sahaja memberi manfaat kepada pengusaha hotel dan agensi pelancongan, malah mempunyai kesan langsung terhadap restoran, pengangkutan, peniaga serta pengusaha PKS yang lain.
Beliau turut berharap kerajaan dapat menyediakan peruntukan khusus bagi menyokong penganjuran program berskala besar yang mampu menarik lebih ramai pengunjung ke Langkawi, termasuk aktiviti permotoran.
Beliau berkata penganjuran acara sedemikian berpotensi menjadi antara pemangkin kepada peningkatan jumlah pelancong, sekali gus mewujudkan limpahan ekonomi kepada pelbagai sektor berkaitan.
Zuraidi berkata Belanjawan 2027 juga perlu mengambil kira keperluan komuniti nelayan di Langkawi dengan meningkatkan bantuan bagi membolehkan mereka membaiki bot serta menggantikan enjin yang rosak.
Beliau berkata pendekatan berasaskan keperluan setempat penting bagi memastikan peruntukan Belanjawan 2027 bukan sahaja merancakkan sektor pelancongan, tetapi turut mengukuhkan ekonomi komuniti dan meningkatkan pendapatan rakyat di Langkawi.
-- BERNAMA