KUALA LUMPUR, 7 Okt (Bernama) -- Malaysia hari ini melancarkan Panduan Usaha Wajar Hak Asasi Manusia (HRDD) bagi Perniagaan di Malaysia bagi membantu perniagaan mengenal pasti, mencegah, mengurangkan dan menangani potensi kesan buruk terhadap hak asasi manusia, selaras dengan langkah negara menterjemahkan Pelan Tindakan Kebangsaan Mengenai Perniagaan dan Hak Asasi Manusia (NAPBHR) 2025-2030 kepada tindakan praktikal.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata panduan itu menggunakan pendekatan berasaskan risiko dan berkadar, dengan mengiktiraf bahawa perniagaan berbeza dari segi sumber, struktur dan pendedahan kepada risiko.
"Penghormatan terhadap hak asasi manusia perlu diterapkan dalam dasar korporat, operasi, rantaian bekalan, hubungan perniagaan dan proses membuat keputusan, manakala amalan perniagaan yang bertanggungjawab tidak seharusnya dilihat sebagai satu kos semata-mata.
"Matlamat kami jauh lebih penting. Kami mahu penghormatan terhadap hak asasi manusia menjadi sebahagian daripada cara perniagaan yang baik dijalankan," katanya dalam ucaptama pada Persidangan Kebangsaan mengenai Perniagaan dan Hak Asasi Manusia 2026 di sini, hari ini.
Azalina menggalakkan perniagaan, daripada syarikat besar kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS), untuk menggunakan panduan tersebut bukan sekadar sebagai satu lagi dokumen pematuhan, tetapi sebagai instrumen pengurusan dan membuat keputusan bagi membina perniagaan yang lebih baik dan bertanggungjawab.
Beliau berkata kerajaan mengakui bahawa perniagaan hari ini beroperasi dalam persekitaran yang semakin kompleks dan berdepan dengan pelbagai keperluan tadbir urus, kemampanan dan pelaporan.
Azalina berkata kerajaan telah mengadakan libat urus dengan pengawal selia, wakil industri dan perniagaan untuk memahami amalan sedia ada, cabaran dan tahap kesediaan mereka, sambil menegaskan kepentingan memahami kedudukan semasa perniagaan bagi membantu mereka bergerak ke hadapan.
Berhubung NAPBHR, beliau berkata Malaysia telah mula membina asas institusi yang diperlukan untuk melaksanakan 11 Tindakan Segera yang dikenal pasti untuk dimulakan pada tahun pertama.
Kerajaan telah menubuhkan Jawatankuasa Pemandu Kebangsaan, yang disokong oleh tiga Jawatankuasa Teknikal dan diselaraskan melalui Kumpulan Kerja Perniagaan dan Hak Asasi serta Jawatankuasa Pemantauan, Penilaian, Latihan dan Pembelajaran Pelbagai Pihak Berkepentingan.
Azalina berkata NAPBHR menterjemahkan Prinsip Panduan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Perniagaan dan Hak Asasi Manusia dalam konteks nasional menerusi tiga bidang keutamaan, iaitu Tadbir Urus, Buruh dan Alam Sekitar, yang disokong oleh 135 tindakan strategik melibatkan kerajaan, perniagaan dan pihak berkepentingan yang lain.
Beliau berkata perniagaan dan hak asasi manusia tidak boleh dijayakan oleh kerajaan secara bersendirian mahupun dicapai oleh perniagaan secara berasingan, sebaliknya memerlukan tanggungjawab dan pemilikan bersama serta kerjasama berterusan.
Pelaksanaan NAPBHR pada tahun pertama juga, katanya, menunjukkan bahawa pelan itu bukanlah produk yang telah siap sepenuhnya, tetapi satu komitmen nasional yang dinamik dan terus berkembang yang perlu sentiasa dipelajari, diukur, ditambah baik dan disesuaikan hingga 2030.
"Pada akhirnya, perniagaan dan hak asasi manusia bukan soal memilih antara pertumbuhan ekonomi dengan maruah insan. Ekonomi moden mesti berupaya mencapai kedua-duanya.
"Malaysia mahukan pelaburan, inovasi dan perniagaan berkembang dan bersaing pada peringkat antarabangsa. Akan tetapi, kita juga mahu pertumbuhan yang bertanggungjawab, mampan dan menghormati maruah insan," katanya.
Beliau berkata fasa seterusnya perlu memberikan tumpuan kepada pencapaian hasil yang nyata selepas asas pelaksanaan berjaya diwujudkan pada tahun pertama.
-- BERNAMA