Dunia 07/10/2026 12:36 PM

Lima Mahasiswa UTHM Pukau Delegasi 42 Negara Di Jerman Dengan Zapin Johor

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Lima Mahasiswa UTHM Pukau Delegasi 42 Negara Di Jerman Dengan Zapin Johor
Lima mahasiswa Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) berjaya memukau dan menarik perhatian perwakilan dari 42 negara menerusi persembahan tarian Zapin Johor pada Majlis Makan Malam Pembukaan “UNESCO Chair Conference 2026” di Jerman, baru-baru ini. Delegasi Malaysia ke UNESCO Chair Conference 2026 diketuai oleh Mohammad Hafiz Najmi Mohd Syariff bersama enam lagi rakannya dan seorang pengiring Ahmad Khirul Nizam Ali, Timbalan Pendaftar MyRIVET.

Oleh Nur Atiq Maisarah Suhaimi

KUALA LUMPUR, 7 Okt (Bernama) -- Bukan penari handalan mahupun penggiat seni kebudayaan, namun lima mahasiswa Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) membuktikan semangat cinta akan tanah air mampu mengatasi segala halangan.

Delegasi berkenaan berjaya memukau dan menarik perhatian perwakilan dari 42 negara menerusi persembahan tarian Zapin Johor pada Majlis Makan Malam Pembukaan “UNESCO Chair Conference 2026” di Jerman, baru-baru ini, meskipun hanya berbekalkan latihan intensif selama seminggu.

Ketua delegasi Malaysia merangkap Presiden Kelab UNESCO UTHM, Mohammad Hafiz Najmi Mohd Syariff, 24, mengakui tiada seorang pun daripada lima ahli kumpulan persembahan itu mempunyai asas tarian tradisional berkenaan.

“Apabila diamanahkan untuk mempersembahkan warisan kebudayaan Malaysia, kami terus terfikirkan Zapin Johor.

Hakikatnya, kami berlima bukan penari tetapi setiap kali melangkah masuk ke bilik latihan setiap malam, kami saling mengingatkan “tak mengapa, ini untuk Malaysia. Semangat itulah yang menggerakkan kaki kami,” katanya kepada Bernama.

Anak jati Perak itu bersama-sama enam mahasiswa dan seorang pensyarah pengiring berada di Jerman bagi menghadiri persidangan anjuran UNESCO International Centre for Technical and Vocational Education and Training (UNESCO-UNEVOC) di TU Dortmund University dari 30 Sept hingga 2 Okt lepas.

Kelab UNESCO UTHM yang ditubuhkan pada Mac lepas mencipta sejarah tersendiri apabila menjadi kumpulan mahasiswa pertama universiti berkenaan yang diberi kepercayaan penuh mewakili negara ke persidangan itu, yang sebelum ini lazimnya diwakili golongan pensyarah.

Menurut pelajar tahun tiga Pengurusan Teknologi Maklumat UTHM itu, mereka hanya sempat menjalani latihan sekitar dua jam setiap malam dalam tempoh seminggu dengan bimbingan Jurulatih Pusat Sukan dan Kebudayaan UTHM, Muhammad Azamuddin Hajijul.

Namun, usaha gigih itu berbaloi apabila gema tepukan dan sorakan gemuruh memenuhi dewan sebaik sahaja persembahan berakhir, malah wakil antarabangsa dari pelbagai benua turut menghampiri mereka secara peribadi bagi menzahirkan kekaguman terhadap keindahan tarian tradisional Melayu itu.

“Semasa kami mempersembahkan tarian itu, semua penonton teruja sambil bersorak dan bertepuk tangan. Selepas persembahan, ada yang datang bertanya dan kami terangkan bahawa zapin ini berasal dari Johor, serta menjemput mereka melawat Malaysia. Begitulah cara kami mempromosikan negara,” katanya.

Mohammad Hafiz berkata tarian Zapin Johor sengaja dipilih bagi mewakili kampus mereka di Batu Pahat, Johor. Beliau dan delegasi lain berbangga dapat menjadi sebahagian daripada duta kecil Malaysia dalam mempromosikan warisan seni budaya ke pentas dunia.

“Kami sangat bangga kerana dapat membawa suara belia ke peringkat antarabangsa di UNESCO-UNEVOC.

Selain itu, apabila diamanahkan melaksanakan persembahan zapin di Jerman, kami sangat teruja dan bangga dapat memperkenalkan warisan kita kepada masyarakat antarabangsa,” katanya.

Di platform UNESCO-UNEVOC, Mohammad Hafiz dan pasukannya turut membentangkan cadangan penganjuran “Kem Kepimpinan Belia Antarabangsa 2027” di Malaysia yang merupakan kesinambungan daripada program “Kem Percutian Antarabangsa 2026’ dari 10 hingga 15 Okt ini.

Kem anjuran Kelab UNESCO UTHM dan Institut Penyelidikan Pendidikan dan Latihan Vokasional Malaysia (MyRIVET) itu menarik penyertaan peserta dari 12 negara termasuk Uzbekistan, Somalia dan Indonesia.

-- BERNAMA