KUALA LUMPUR, 7 Okt (Bernama) -- Pelumba Moto3 negara, Muhammad Hakim Danish Ramli bersedia untuk bangkit di Grand Prix (GP) Indonesia 2026 selepas melalui perlumbaan yang mencabar di GP Jepun, Ahad lepas.
Pelumba AEON Credit-MT Helmets-MSi itu dalam satu kenyataan hari ini berkata beliau mahu memanfaatkan pengalaman yang diperoleh di Litar Motegi untuk memberikan aksi lebih kompetitif di Litar Antarabangsa Mandalika, dari 9-11 Okt ini.
Walaupun masih dalam proses pemulihan kecederaan pada bahagian bahu susulan tiga insiden kemalangan yang dialami di GP Jepun, pelumba berusia 19 tahun itu kekal fokus untuk kembali memberikan persembahan terbaik dan meneruskan kutipan mata dalam kejuaraan di GP Indonesia.
Litar Antarabangsa Mandalika bukan asing buat pelumba kelahiran Terengganu itu kerana pernah beraksi di venue berkenaan ketika menyertai saingan Asia Talent Cup (ATC) kira-kira empat tahun lepas.
“Litar ini mempunyai beberapa selekoh berkelajuan tinggi dan mempunyai bahagian yang agak teknikal, terutama di sektor pertama dan sektor terakhir yang menampilkan selekoh tajam.
“Jadi, saya perlu meningkatkan lagi kelajuan dan prestasi di bahagian tersebut. Mengenai keadaan bahu, saya mahu fokus dengan sesi fisioterapi untuk kembali pulih sepenuhnya sebelum beraksi di litar minggu ini,” katanya.
Ahad lepas di GP Jepun, Hakim Danish menamatkan perlumbaan di tempat ke-13 selepas bermula di petak 21.
Mengumpul 105 mata, Hakim Danish kini berada di kedudukan ketujuh keseluruhan Kejuaraan Dunia Moto3 2026.
-- BERNAMA